SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.


1. 86 rakyat Malaysia di Wuhan selamat

Sejumlah 86 rakyat Malaysia yang menetap di Wuhan dan sekitarnya berada dalam keadaan tenang.

Mereka juga tidak dibenarkan keluar dari rumah bagi mengelakkan jangkitan novel koronavirus nCoV.

Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin berkata pihaknya sentiasa meneruskan proses mengenal pasti rakyat Malaysia yang berada di Wuhan dari semasa ke semasa untuk tujuan pemantauan.



2. WHO akan bermesyuarat hari ini

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dijadual berbincang dengan pakar-pakar pada jam 8.30 malam ini untuk menentukan sama ada penularan novel koronavirus sudah sampai ke tahap kecemasan kesihatan global.

Ketua Pengarahnya Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata mesyuarat bersama Jawatankuasa Kecemasan Peraturan Kesihatan Antarabangsa itu sangat perlu diadakan susulan trend jangkitan virus di luar negara China.

Status Jangkitan Koronavirus (setakat 6.20 pagi)

Kes: 6,165
Mati: 133
Pulih: 126
Negara terbabit: 20



3. Hukuman lebih berat untuk pemandu mabuk

Hukuman lebih berat bakal dikenakan terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah, serta pemandu yang memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan kematian.

Perkara itu diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook selepas Kabinet pada Rabu bersetuju untuk meminda undang-undang bagi kesalahan berkenaan.

Loke berkata tiga seksyen di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu Seksyen 41, 44 dan 45 akan dikaji semula bagi memperketatkan undang-undang sedia ada dengan hukuman yang lebih berat.

Perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Peguam Negara dan agensi berkaitan akan dimulakan untuk membolehkan pindaan itu dibawa ke Parlimen seawal Julai.



4. Padah sebar berita palsu koronavirus

Empat lagi individu yang disyaki menyebarkan kandungan berita palsu mengenai penularan jangkitan koronavirus ditahan.

Keempat-empat mereka ditahan secara berasingan oleh pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), untuk dirakam keterangan masing-masing.

SKMM dalam kenyataan media berkata proses penahanan itu dilakukan menerusi dua operasi di Melaka dan masing-masing di Kedah serta Pahang antara pukul 11 pagi hingga 5 petang.



5. Sukan

Tenis Terbuka Australia. Pemain pilihan utama Rafael Nadal dinafikan tempat ke semi final apabila tewas kepada wakil Austria, Dominic Thiem.

Thiem bergelut empat set untuk menundukkan Nadal. Dia yang juga pilihan kelima kejohanan menang dengan 7-6 (7-3) 7-6 (7-4) 4-6 7-6 (8-6) dalam aksi di Melbourne Park.

Thiem bakal berdepan wakil Jerman, Alexander Zverez dalam pusingan semi final.

Sementara itu, dalam sukan bola sepak Liga Perdana Inggeris, West Ham tumpas di tangan Liverpool 0 - 2.

Gol dijaringkan Mohamed Salah pada minit ke-35 menerusi sepakan penalti, manakala gol kedua dijaringkan Alex Oxlade-Chamberlain pada minit ke-52 melalui hantaran menarik daripada Salah.