PUTRAJAYA: Kerajaan akan melipat ganda usaha membendung COVID-19 di lima negeri yang mencatatkan penularan kes COVID-19 yang tinggi.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, usaha itu termasuk menyalurkan bekalan vaksin yang lebih banyak serta memindahkan tenaga kerja serta aset perubatan dari negeri lain ke lima negeri terbabit.

"Kita akan fokus di beberapa negeri sedang berhadapan penularan kes tinggi iaitu Sabah, Johor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

"Negeri tersebut bukan hanya menerima bekalan vaksin lebih, tetapi juga kita sudah memulakan proses pemindahan tenaga kerja dan aset perubatan kepada negeri tersebut, dari negeri yang tidak lagi memerlukan aset dan tenaga kerja berlebihan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Khas KKM di Putrajaya pada Rabu.

Tambah Khairy, usaha itu bagi memastikan kes harian dan bilangan pesakit COVID-19 yang terpaksa dimasukkan ke hospital akibat mengalami gejala serius, selain kematian, dapat dikurangkan.

"Untuk bulan September, kita akan memperuntukan 15.16 juta dos vaksin. Negeri yang akan mendapat vaksin iaitu Johor sebanyak 1.9 juta vaksin, Kedah 1.3 juta, Kelantan 1.2 juta, Pahang 1.4 juta, Perak 1.6 juta, Pulau Pinang 1 juta dan Sabah sebanyak 2.9 juta vaksin," katanya.