KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) akan menempatkan 430 buah tangki statik di kawasan bertekanan rendah dan sering mengalami gangguan bekalan air, sepanjang Ramadan dan perayaan Aidilfitri ini.

Pengurus Besarnya Dr Nazmi Ghazali Azmi berkata tangki itu akan diletakkan di lokasi-lokasi strategik bagi membolehkan pengguna mendapatkan air sekiranya berlaku gangguan bekalan air terawat.

"AKSB turut menyediakan sembilan buah lori tangki air milik AKSB dan empat unit lori air kontrak serta tambahan 27 buah lori tangki air kontrak di seluruh jajahan untuk mengisi air di tangki statik dan menghantar air kepada pengguna yang menghadapi gangguan bekalan air.

"AKSB juga akan memastikan lori-lori ini diselenggara dengan baik dan dapat beroperasi dengan sempurna semasa bulan Ramadan dan musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dr Nazmi berkata AKSB menjangkakan penggunaan bekalan air terawat akan meningkat sepanjang bulan puasa dan cuti Aidilfitri kali ini, berikutan cuaca agak panas dan kemarau yang boleh menyebabkan sumber air mentah menyusut.

"Kesemua Loji Rawatan Air (LRA) AKSB beroperasi dengan kapasiti maksima dengan keseluruhan pengeluaran air melebihi 500 juta liter sehari (JLH) iaitu 528 JLH dan kerja-kerja penyelenggaraan berjadual di LRA yang boleh menyebabkan pengurangan pengeluaran akan ditunda.

"Selain itu, stok bahan kimia di LRA akan dipastikan mencukupi bagi pengoperasian loji sepanjang bulan Ramadan dan musim perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti," katanya.

Beliau berkata AKSB akan memastikan kakitangan yang bertugas di Unit Mekanikal dan Elektrikal AKSB serta kakitangan yang terlibat dengan pengoperasian rawatan dan agihan air terawat, termasuk pembaikan kebocoran di seluruh jajahan, sentiasa mencukupi serta dapat dihubungi sekiranya berlaku gangguan bekalan.

"AKSB juga telah meminta kontraktor luar untuk tunggu (dan) sedia membantu melaksanakan sebarang kerja kecemasan yang di luar kemampuan kakitangan AKSB dan medium komunikasi dengan pihak Tenaga Nasional Berhad telah dibuat sekiranya terdapat sebarang gangguan bekalan elektrik.

"AKSB melalui Unit Hal Ehwal Pengguna (PINTAS) akan menerima aduan daripada pengguna sepanjang bulan Ramadan seperti biasa bermula 8 pagi hingga 10.00 malam setiap hari, kecuali hari Khamis, 8 pagi hingga 9.30 malam dan di luar waktu tersebut, panggilan aduan akan direkodkan dan pelanggan akan dihubungi pada keesokan harinya," katanya.

-- BERNAMA