TELUK INTAN: Empat lagi kawasan di Changkat Jong dilanda banjir sehingga malam ini, menyaksikan mangsa melonjak kepada 118 orang, berbanding 69 pada sebelah petang.

Menurut jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hilir Perak, empat kawasan baharu itu ialah Batu 7, Jalan Changkat Jong; Batu 7 1/2, Lorong Mesra; Kampung Baru Batu 8 dan Kampung Batu 10.

Sebelum ini, banjir di Changkat Jong hanya melibatkan Kampung Batu 8, Lorong Kedah dan Kampung Batu 9.

“Setakat ini 30 keluarga telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) Batu 4 Changkat Jong,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurutnya, mangsa banjir terdiri daripada 27 lelaki, 37 wanita dewasa, 28 kanak-kanak lelaki dan 26 kanak-kanak perempuan.

Katanya, pemantauan diteruskan dan cuaca di sekitar Daerah Hilir Perak masih hujan.