39 ekor anjing didapati positif menghidap wabak anjing gila sehingga 18 September 2015.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar dalam satu kenyataan memaklumkan, daripada jumlah itu, 19 kes dikesan positif di Perlis manakala 17 kes lagi di Kedah dan tiga kes di Pulau Pinang.

Keputusan itu diperoleh selepas jabatan berkenaan mengambil 110 sampel anjing iaitu 64 di Perlis, 31 di Kedah dan 15 di Pulau Pinang.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga memaklumkan sejumlah 2,104 ekor anjing sudah divaksinkan sehingga 18 September lalu.

Daripada jumlah itu, 1,639 ekor anjing yang divaksin adalah di Kedah sementara baki 465 ekor anjing adalah di Perlis.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebelum ini mengisytiharkan Pulau Pinang, Kedah, dan Perlis sebagai kawasan penularan wabak anjing gila atau rabies.

Kes terakhir penyakit anjing gila atau rabies di Malaysia adalah pada tahun 1999 dan kemudiannya diisytiharkan bebas rabies oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia, OIE pada 2012.