KUALA LUMPUR: Jumlah suntikan harian vaksin COVID-19 yang direkodkan pada 9 Julai adalah 337,478 dos.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerusi perkongsian di twitter memaklumkan, daripada jumlah itu 213,396 adalah penerima dos pertama manakala, 124,082 adalah penerima dos kedua.

Selangor merekodkan jumlah harian dos tertinggi dengan lebih 22,553 bagi dos pertama diikuti Kuala Lumpur dengan 37,493.

Sebelum ini, pada 15 Jun, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan sasaran peningkatan kadar vaksinasi kepada lebih 300,000 dos sehari selepas bulan Jun.


Sementara itu, jumlah kumulatif pemberian dos pertama dan kedua dalam negara ketika ini adalah sebanyak 10.75 juta, 22.8 peratus sudah melengkapkan dos pertama manakala 10.2 peratus sudah melengkapkan dos kedua.

Kuala Lumpur mencatatkan jumlah peratusan tertinggi dengan 75.5 peratus yang melengkapkan dos pertama diikuti Putrajaya dengan 47.5 peratus.

Manakala dua negeri masih rendah peratusan yang melengkapkan dos pertama iaitu Sabah dengan 10.2 peratus dan Kelantan 12.9 peratus.