Seramai 320,000 pekebun kecil Risda di seluruh negara yang berhadapan kejatuhan harga getah mula menikmati bantuan khas.

Ketua Pengarah Risda, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad berkata pihaknya menyediakan dana berjumlah RM160 juta bagi membantu para pekebun kecil yang memiliki kawasan tanaman getah tidak melebihi 2.5 hektar dengan setiap seorang menerima RM500.

Bercakap kepada para pemberita selepas menyampaikan bantuan khas itu kepada pekebun kecil di Perlis di sini hari ini, beliau berkata sebelum ini bantuan telah dikeluarkan di Johor, Sarawak, Perak dan Melaka.

Para pekebun kecil daripada negeri lain bakal menerimanya dalam tempoh dua minggu lagi.
Pada majlis itu, beliau menyampaikan replika cek bernilai RM639,000 kepada Pengarah Risda Negeri, Osman Bakar untuk diagihkan kepada 1,278 pekebun kecil di seluruh Perlis.

Wan Mohamad Zuki berkata kerajaan melalui Risda mengambil pendekatan mengeluarkan bantuan itu bagi meringankan beban para pekebun kecil semasa berhadapan dengan penurunan harga getah sekarang disebabkan perkembangan ekonomi yang lembap di negara pembeli utama khususnya Amerika Syarikat dan negara Eropah.

Beliau berharap keadaan itu tidak berpanjangan dan harga getah akan naik semula dalam tempoh terdekat sebagaimana harga tertinggi yang pernah dicatat RM17.70 sekilogram tahun 2011.

Semalam harga getah merudum ke paras RM7.20 sekilogram.

Berikutan itu, katanya pihak Risda telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas minggu lalu bagi mencari jalan terbaik untuk menghadapi suasana sedemikian termasuk menggalakkan para pekebun kecil yang terbabit dengan tanaman semula memaksimumkan penggunaan kebun dengan tanaman yang boleh memberi pendapatan sampingan termasuh sayuran.

Wan Mohamad Zuki berharap melalui pendekatan tersebut, ia dapat segera mencapai sasaran meningkatkan pendapatan 401,000 keluarga pekebun kecil di seluruh negara kepada RM4,000 sebulan menjelang tahun 2020 berbanding pendapatan sekarang RM700 sebulan.

Katanya bagi menjayakan usaha mempelbagaikan kegiatan ekonomi di kalangan masyarakat pekebun kecil, Risda juga menyediakan pinjaman tanpa faedah sebanyak RM10,000 kepada mereka di samping bantuan percuma RM9,230 tiap sehektar kawasan kebun getah dengan syarat mereka memiliki kebun tidak melebihi 40 hektar seorang.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Negeri, Ahmad Bakri Datuk Ali.