GEORGE TOWN: Sebanyak 32 daripada 38 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) baharu di negeri ini yang dirancang sebelum ini telah siap sepenuhnya dan mula dibuka.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata ia menjadikan keseluruhan 35 NADI beroperasi di negeri ini termasuk tiga sedia ada manakala baki enam lagi dijangka siap pada hujung bulan ini.

"Jika dibandingkan dengan negeri lain, Pulau Pinang paling cepat siap semua NADI dari tempoh pengumuman oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) awal tahun ini yang mahu mewujudkan 38 NADI di Pulau Pinang.

"Biasanya apabila buat pengumuman akan ambil masa lama (untuk siap) tetapi kali ini cepat, hanya beberapa bulan sahaja 32 daripada 38 telah pun siap. Menjelang akhir tahun ini jumlah keseluruhan NADI di Pulau Pinang adalah sebanyak 41 dengan setiap DUN (Dewan Undangan Negeri) ada satu NADI, itu yang dijanjikan perdana menteri," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran NADI Tanjong Bungah yang turut dihadiri Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Pulau Pinang Mohd Fitri Hashim dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Kerajaan Tempatan Muhammad Husni Mahmud di sini semalam.

Zairil berkata NADI Tanjong Bungah merupakan NADI pertama yang dilancarkan secara rasmi di bahagian pulau manakala NADI Sungai Dua akan dilancarkan pada Khamis ini mewakili kawasan Seberang Perai.

Beliau berkata NADI baharu ini dipantau dan dimudah cara oleh kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Khas Pelaksanaan dan Operasi NADI Pulau Pinang, yang berperanan memantau perkembangan pembinaannya agar dapat disiapkan mengikut masa yang telah ditetapkan.

"... ini termasuk melihat dan memastikan program yang dijalankan di NADI tidak bertindih dengan program yang dianjurkan oleh Digital Penang dan Pihak Berkuasa Tempatan.

"Jawatankuasa ini akan bersidang setiap suku tahun bagi memastikan objektif dan sasaran NADI dapat dicapai dan dinikmati oleh semua penduduk setempat," katanya.

Zairil berkata program yang ditawarkan di NADI turut dirombak semula secara berperingkat dan berpaksikan kepada lima teras utama iaitu Keusahawanan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesejahteraan Kendiri, Kesedaran serta Inisiatif Kerajaan bagi memperkasakan komuniti selain memastikan capaian dan peluang sama rata untuk komuniti tempatan sambil menangani keperluan khusus mereka.

Pada 16 Feb lepas Anwar mengumumkan pembinaan dan pengoperasian 38 NADI baharu di Pulau Pinang yang ketika itu dikenali sebagai Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dengan melibatkan peruntukan RM47 juta.

-- BERNAMA