Hampir 30,000 pemandu kenderaan kerajaan dikhuatiri dikenakan saman berikutan pelaksaan sistem penguatkuasaan automatik (AES).

Menurut presiden Kongres Kesatuan Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman, pekeliling tidak diberikan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam bagi membolehkan pemandu berkenaan dikecualikan daripada membayar saman.

Beliau turut mengulangi gesaan Cuepacs supaya pemasangan kamera sistem penguatkuasaan automatik (AES) ditangguhkan sehingga taklimat menyeluruh dijalankan di semua agensi dan jabatan kerajaan.

"Kita memang tidak membantah usaha ini tetapi sepatutnya sistem baru ini perlu dibuat kajian terlebih dahulu dan pemasangannya ditempat banyak berlaku kemalangan," kata Omar.

Ujar beliau lagi, semua kakitangan awam termasuk anggota JPJ adalah pengguna dan pemandu kenderaan sendiri.

Cuepacs sebelum ini menggesa supaya pelaksaan sistem penguatkuasaan automatik ditangguhkan ekoran desakan yang diterima daripada kakitangan awam, yang berjumlah lebih 1.3 juta orang.