Mayat tiga lelaki telah ditemukan di dalam sebuah lombong emas tinggal di Indonesia selepas lubang udaranya runtuh ke atas mereka.

Sekurang-kurangnya sembilan yang lain masih terperangkap dan dianggap mati, kata polis pada Khamis.

Dipercayai 12 orang memasuki lombong di kawasan pergunungan Jawa Barat pada Selasa dengan harapan menjumpai emas.

Jurucakap polis, Ita Puspitalena berkata, mereka yang maut bukan pelombong tetapi "perompak" yang tidak mempunyai kepakaran untuk menggali lombong sepanjang 200 meter di bawah tanah itu.

"Ia runtuh ke atas mereka disebabkan tiada struktur sokongan yang sempurna," katanya kepada AFP.

"Kemungkinan besar tiada yang terselamat."

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan telah menutup lombong itu sejak beberapa bulan lalu, namun perlombongan emas haram berkembang pesat beberapa tahun kebelakangan susulan harga logam itu yang kian meningkat.

Tambahnya, fenomena menjarah emas di pergunungan selatan Jakarta itu bukan sesuatu yang pelik, dan kematian adalah perkara biasa.

Pada Oktober 2014, 18 terbunuh selepas sebuah lombong emas haram runtuh di barat Borneo.

Pada Julai tahun yang sama, tanah runtuh membunuh sembilan lelaki di sebuah lagi lombong emas haram di wilayah pedalaman Papua.