KUALA LUMPUR: Polis membongkar sebuah makmal memproses dadah jenis kokain dan menahan pasangan suami isteri dan seorang lelaki dalam dua operasi di Cheras di sini Selasa lepas.


Ringkasan AI
  • Polis membongkar sebuah makmal memproses dadah jenis kokain di Cheras dan menahan tiga individu, termasuk pasangan suami isteri, dalam dua operasi pada Selasa lepas, dengan rampasan 44.93 kilogram kokain bernilai RM9 juta.
  • Pasangan suami isteri yang ditahan berperanan sebagai 'runner' dan penjaga bekalan serta proses dadah, sementara seorang lelaki berusia 38 tahun yang juga ditahan berperanan sebagai 'runner' tambahan.
  • Sindiket yang aktif sejak awal tahun ini menggunakan kediaman sebagai tempat memproses dan menyimpan kokain sebelum diedarkan ke pasaran luar negara menggunakan pengangkutan udara, dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


Menerusi serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat (DEA) itu, sebanyak 44.93 kilogram kokain dianggarkan bernilai RM9 juta dirampas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Khaw Kok Chin berkata dalam operasi pada 10 malam itu, pasangan suami isteri berusia 41 tahun ditahan di sebuah kondominum di Jalan Cheras, Batu 5 dekat sini.

"Pemeriksaan di dalam rumah itu menemukan 44.93 kilogram kokain dan 52.5 liter cecair kimia yang diletakkan di dalam botol minuman beralkohol.

"Siasatan awal mendapati lelaki terbabit berperanan sebagai 'runner' dan isterinya merupakan penjaga bekalan serta melakukan proses menghasilkan dadah itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Khaw berkata siasatan awal mendapati rumah itu dipercayai dijadikan stor dan makmal memproses kokain yang disewa sejak Febuari lepas dengan kadar sewaan RM2,350 sebulan.

Susulan tangkapan itu, Khaw berkata pihaknya menahan seorang lelaki berusia 38 tahun yang berperanan sebagai 'runner' di sebuah pangsapuri di Taman Kasturi, Cheras dan merampas satu kilogram serbuk kimia di dalam rumah tersebut.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket yang aktif sejak awal tahun ini menjadikan kediaman sebagai tempat memproses dan menyimpan dadah jenis kokain sebelum diedarkan untuk pasaran luar negara menggunakan pengangkutan udara.

"Seorang daripada individu yang ditahan positif dadah jenis Ketamin dan memiliki lapan rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan jenayah.

"Pasangan suami isteri itu direman selama tujuh hari sehingga 23 Julai, manakala seorang lagi direman empat hari hingga Sabtu ini," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA