KUALA LUMPUR: Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC) menganggarkan pengurangan 10 peratus subsidi bahan api RON95 boleh mengurangkan defisit fiskal sebanyak kira-kira 0.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).


Ringkasan AI
  • Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC) menganggarkan bahawa pengurangan 10 peratus subsidi bahan api RON95 boleh mengurangkan defisit fiskal sebanyak kira-kira 0.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
  • MARC menyatakan bahawa rasionalisasi subsidi adalah penting untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan, kerana subsidi telah meningkat daripada 4 peratus pada 2003 kepada 25 peratus pada 2023, dengan Malaysia membelanjakan RM70.3 bilion untuk subsidi pada 2022.
  • MARC juga menjelaskan bahawa pembaharuan subsidi bahan api yang berterusan diperlukan, di samping penambahbaikan terhadap sistem e-invois Malaysia untuk meningkatkan kecekapan kutipan cukai, bagi memastikan kemampanan fiskal dengan meluaskan tumpuan kepada cukai penggunaan.


Dalam kenyataan pada Khamis, firma itu menjelaskan pada masa ini, petunjuk yang memberangsangkan dalam pasaran buruh, pertumbuhan KDNK dan perbelanjaan pengguna sewajarnya memudahkan penyasaran semula subsidi ke arah impak kebajikan yang bermanfaat.

"Merasionalisasikan subsidi kekal sebagai faktor utama dalam mengurangkan perbelanjaan kerajaan, kerana subsidi telah meningkat sebagai bahagian perbelanjaan mengurus Malaysia daripada empat peratus pada 2003 kepada 25 peratus pada 2023," tambahnya.

MARC memaklumkan pada 2022, Malaysia membelanjakan RM70.3 bilion untuk subsidi, dengan subsidi bahan api membentuk 74 peratus.

"Oleh itu, pembaharuan subsidi bahan api yang berterusan masih diperlukan, di samping kajian semula terus dibuat terhadap pelbagai subsidi supaya wang yang diperuntukkan lebih disasarkan kepada kumpulan yang kurang bernasib baik dalam masyarakat," menurutnya.

Firma penarafan itu menjelaskan bagi cukai, walaupun pematuhan cukai kekal sebagai cabaran terutama bagi cukai langsung namun, penambahbaikan berterusan terhadap sistem e-invois Malaysia seharusnya meningkatkan kecekapan kutipan cukai tidak langsung.

"Secara keseluruhannya, meluaskan tumpuan cukai penggunaan adalah penting untuk kemampanan fiskal, dan ini boleh dilaksanakan dengan mempunyai barangan yang lebih banyak bagi cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada, atau memperkenalkan varian cukai barang dan perkhidmatan atau cukai nilai tambah," menurutnya.

MARC menjelaskan Akta Kewangan Awam dan Akta Tanggungjawab Fiskal Malaysia 2023 telah mengehadkan defisit fiskal pada 3.0 peratus daripada KDNK dan pada masa sama membenarkan lencongan sementara bagi keperluan semasa.

"Kerajaan menyasar untuk mencapai penanda aras ini pada 2026, jika berjaya, akan menstabilkan paras hutang Malaysia yang tinggi dan menjajarkan defisit dengan median global," tambahnya.

-- BERNAMA