LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan tiga nelayan tempatan selepas bot mereka karam akibat bocor ketika menangkap ikan di perairan Tanjung Kubong di sini semalam.

Pengarah APMM Labuan Kapten Nudin Jusoh berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.35 petang mengenai kejadian yang berlaku tidak jauh dari jeti Labuan dan menggerakkan satu bot peronda yang sedang menjalankan tugas rutin dibantu oleh dua aset APMM untuk operasi mencari dan menyelamat.

"Mangsa dikenali sebagai Mohd Azizan Ali, 31, Mazlan Ali, 23, dan Julgarib Saruman 35. Pasukan operasi APMM tiba di lokasi pada 7.46 malam dan terdapat tiga bot nelayan tempatan yang turut cuba membantu mangsa.

"Kami percaya bot ini karam kerana cuaca buruk dan kami berjaya menyelamatkan mereka dan pulang ke jeti pada 8.10 malam," katanya.

Sebarang kecemasan maritim (di sekitar perairan Labuan), orang ramai boleh menghubungi APMM Labuan menerusi talian 087-453777.

-- BERNAMA