Sebanyak 15 pusat pencegahan bagi kawalan penyakit diwujudkan di pintu masuk utama di Mekah dan dikendalikan oleh 25,000 petugas kesihatan sepanjang masa pada musim haji kali ini, demikian menurut Kementerian Penerangan dan Kebudayaan Arab Saudi.

Dalam satu kenyataan yang dihantar ke sini, kementerian itu berkata pusat terbabit dilengkapi pasukan kecemasan dan ubat-ubatan serta disokong oleh kira-kira 300 ambulans, 30 ambulans motosikal, lapan ambulans pesawat dan 113 pusat ambulans.

Selain itu, lebih 2,000 kakitangan Pihak Berkuasa Bulan Sabit Merah Saudi ditugaskan di Mekah dan Madinah.

"Arab Saudi juga bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan mengadakan pelan luar jangka dengan menubuhkan unit kuarantin khas jika berlaku wabak Ebola dan MERS (Sindrom Pernafasan Timur Tengah).

"Jemaah digesa mendapatkan suntikan vaksin untuk penyakit-penyakit tertentu serta mengemukakan bukti vaksinasi itu sebelum visa haji dikeluarkan untuk mereka," katanya.

Menurut kenyataan itu, setakat ini lebih 2,100 prosedur perubatan telah dijalankan terhadap jemaah.

Tahun ini, pihak berkuasa Saudi mengesyorkan agar warga yang berusia 65 tahun ke atas, mereka yang menghidap penyakit kronik, kekurangan imun, kanser dan penyakit yang membawa maut serta wanita hamil dan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun agar menangguhkan ibadah haji mereka.

Menurut kenyataan itu, di perkarangan Masjid Nabawi di Madinah, payung-payung gergasi dipasang bagi melindungi jemaah haji daripada pancaran terik matahari manakala kubah gelongsor dipasang di kawasan luar masjid bagi melindungi jemaah daripada bahang haba.

-- BERNAMA