JOHOR BAHRU: Dua bangkai anak gajah ditemukan di sebuah kebun sayur tinggal berhampiran dengan Empangan Kahang dan Hutan Simpan Kluang, dekat Kluang semalam, disyaki termakan racun.

Pengarah PERHILITAN Johor Salman Saaban berkata pihaknya menerima aduan awam mengenai penemuan bangkai anak gajah betina itu kira-kira pukul 5 petang.

"Hasil siasatan awal mendapati bangkai tersebut melibatkan dua ekor anak gajah dianggarkan berumur antara lima hingga enam tahun. Tiada kesan tembakan ditemui pada badan atau kepala gajah," kata beliau dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, berdasarkan keadaan bangkai kedua-duanya, dipercayai mamalia itu mati dalam tempoh seminggu atau dua minggu dan mati disebabkan termakan racun.

Salman berkata kedua-dua mamalia itu dipercayai datang dari kumpulan gajah Tenggara yang dianggarkan sebanyak 25 hingga 30 ekor dan sering berkeliaran di sekitar kawasan berkenaan bagi mencari makan.

Beliau berkata pihaknya telahpun mengambil beberapa sampel dari bangkai gajah berkenaan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian sebelum bangkai kedua-duanya ditanam di kawasan berdekatan, hari ini.

-- BERNAMA