MELAKA: Polis menahan dua ahli kumpulan silat kerana memiliki lapan senjata tajam dalam operasi pemantauan di Pulau Besar di sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata siasatan awal mendapati lelaki berusia 45 tahun dan wanita berusia 41 tahun itu datang ke pulau berkenaan untuk merakam video berkaitan aktiviti persilatan mereka sebelum ditahan kira-kira 11 pagi.

"Tangkapan ke atas mereka dilakukan ketika anggota polis daripada Balai Polis Kandang dan Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Melaka, anggota Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah melakukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara di pulau tersebut.

"Kedua-dua mereka bersama tiga lagi rakan yang dipercayai ahli kumpulan silat berada di pulau tersebut untuk merakam video tetapi polis menjumpai pelbagai senjata berjadual dalam simpanan kedua-duanya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata senjata yang dirampas terdiri daripada sebilah pedang, dua parang serta lima keris pelbagai saiz dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berjadual 1958.

Christopher berkata tiga rakan lelaki dan wanita tersebut bagaimanapun dilepaskan selepas polis merekodkan keterangan mereka.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan tidak membawa apa-apa senjata yang disenaraikan dalam jadual kedua Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berjadual 1958 ke tempat awam tanpa kebenaran kerana ia adalah satu kesalahan serius.

"Senjata berkenaan adalah berbahaya dan dikhuatiri digunakan untuk tujuan menyerang dan mencederakan orang di tempat awam," katanya.

-- BERNAMA