Sebanyak 2.7 juta pemegang akaun di bawah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i/SSPN-i Plus) dicatatkan bagi tempoh 2004 sehingga 31 Dis 2016, dengan jumlah deposit terkumpul RM2.6 bilion.

Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar&Operasi) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Mastura Mohd Khalid berkata angka ini menunjukkan kesedaran masyarakat mengenai instrumen ini yang menjadi pilihan utama bagi tujuan simpanan pendidikan.

"SSPN-i dan SSPN-i Plus merupakan pelan terbaik yang menggabungkan simpanan pendidikan dan pakej perlindungan takaful yang murah dan komprehensif.

"Ia tidak membebankan kerana setiap ringgit yang disimpan diberi jaminan sepenuhnya oleh kerajaan di samping penawaran pelan simpanan dengan pilihan pakej yang mampu dibuka oleh setiap lapisan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program tanggungjawab sosial korporat (CSR) "Bayi Wilayah Persekutuan": Pupuk Masyarakat Menabung Seawal Usia Sehari di Hospital Tung Shin, hari ini.

Katanya program CSR yang julung kali diadakan itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan menggalakkan ibu bapa untuk menabung seawal kelahiran anak mereka bagi tujuan pendidikan.

Terdahulu, Mastura menyampaikan sumbangan berupa akaun SSPN-i Plus bernilai RM100 setiap seorang dan hamper kepada dua bayi yang dilahirkan di hospital itu sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan semalam.

Sementara itu, seorang jururawat yang melahirkan 'bayi wilayah', Chong Wuan Yen, 26, berkata beliau akan mempertimbangkan untuk menabung di SSPN-i Plus kerana melihat pakej tersebut sebagai satu skim yang penting bagi pendidikan anak sulungnya nanti.

"Saya akan berbincang dengan suami saya kerana Bryson Ching anak pertama kami dan kami tidak rancang apa-apa simpanan lagi," katanya.

SSPN-i Plus merupakan satu skim atau pelan simpanan yang direka PTPTN untuk penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi.

SSPN-i Plus ditambah baik daripada SSPN-i sedia ada dan mengguna pakai konsep simpanan secara komitmen bulanan dan jumlah simpanan adalah bergantung kepada pakej yang dipilih.

-- BERNAMA