MERSING: Generasi kedua Felda Tenggaroh 3, di sini, gembira apabila penantian mereka selama kira-kira dua tahun untuk mendapatkan hak milik tanah di kawasan Felda berkenaan berakhir.

Seorang penerima Norimah Mohd Badri, 36, berkata dia bersyukur atas keprihatinan kerajaan negeri kerana akhirnya bakal memiliki kediaman sendiri, selepas hampir tujuh tahun hidup menyewa.

"Saya berasa amat gembira dan berbesar hati kerana hari ini MB (Menteri Besar) sendiri turun padang bagi menyampaikan geran tanah kepada kami.

"Pendapatan bulanan kami tidak menentu memandangkan suami bekerja sendiri. Malah kita pun sedia maklum dalam keadaan ekonomi sekarang, bukannya mudah nak beli rumah yang pastinya memerlukan kos yang besar, " kata suri rumah itu ketika ditemui Bernama, di sini semalam.

Terdahulu, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menyampaikan hak milik tanah kepada 191 penerima generasi kedua di Dewan Felda Tenggaroh 3.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri K.Raven Kumar, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tenggaroh.

Turut berkongsi kegembiraan ialah Norzalyana Abd Rahman, 30, kerana akhirnya dia dapat 'berdikari' memandangkan sebelum ini beliau terpaksa menumpang di rumah keluarganya.

Ibu kepada dua anak itu turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan kerana melancarkan inisiatif seumpama itu dan bertekad tidak akan mensia-siakan lot tanah generasi masyarakat Felda itu.

"Alhamdulillah rasa bersyukur menerima hadiah istimewa ini. Akhirnya impian keluarga kecil kami untuk miliki rumah sendiri akan tercapai," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar dalam satu hantaran di Facebook berkata gembira melihat senyuman di wajah kesemua penerima itu.


"Inilah kepuasan dan suntikan semangat bagi kerajaan negeri untuk terus berusaha menyelesaikan isu yang dihadapi rakyat di Johor.

"InsyaAllah, semoga segala usaha ini dapat memudahkan urusan dan memanfaatkan warga Felda pada masa akan datang," katanya.

-- BERNAMA