KOTA BHARU: Sebanyak 160 pangkalan hadapan di Kelantan bersiap sedia untuk mengagihkan bekalan keperluan bencana banjir ke 456 pusat pemindahan sementara (PPS) yang diwartakan di negeri itu pada musim tengkujuh tahun ini.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan Said Sidup berkata peruntukan sebanyak RM1.7 juta untuk membeli bekalan keperluan bencana seperti makanan dan bantuan lain akan terus dihantar ke PPS yang terlibat apabila menerima arahan daripada ketua jajahan di kawasan terbabit.

"JKM Kelantan telah membuat persiapan awal dengan menghantar bekalan keperluan bencana di 160 pangkalan hadapan dan sudah melantik jawatankuasa di PPS bagi melicinkan urusan membantu mangsa banjir.

"Berdasarkan pengalaman bencana banjir sebelum ini, jajahan Pasir Puteh, Pasir Mas dan Tanah Merah antara kawasan yang awal PPS dibuka di Kelantan, tetapi kita sentiasa memberi perhatian di semua kawasan dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Aiman Athirah Sabu berkata barangan keperluan bencana sudah dihantar dari depoh utama negeri ke pangkalan hadapan bagi mengelakkan berlakunya kelewatan bantuan.

Monsun timur laut berlaku bermula November hingga Mac tahun depan.

-- BERNAMA