Wakil penduduk, Zaitun Hashim, 60, berkata, sejak kejadian yang dikesan sejak 2019 itu berlaku, kawasan rumahnya kini hanya berjarak 23 meter dari tebing Sungai Kelantan.
"Selepas 2019, runtuhan tebing kembali dikesan pada Januari apabila berlaku pergerakan tanah sedikit demi sedikit. Pada 2 Julai lalu sekali lagi runtuhan berlaku dan kemuncaknya 20 Ogos baru-baru ini.
"Susulan itu penduduk membuat laporan kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui pemberita pada Selasa.
Ujarnya, JPS memaklumkan agensi itu akan memasang kanvas sebagai langkah awal mengatasi masalah di kawasan Taman Sri Jias.
Zaitun memberitahu, penduduk semakin cemas apabila kawasan yang runtuh itu merupakan laluan air longkang dan dibimbangi akan mempercepatkan lagi pergerakan tanah.
"Pada masa sama, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah memasang tali amaran bagi menghalang penduduk menghampiri kawasan tersebut bagi mengelakkan risiko," katanya.
Kedudukan rumah Wan Izuddin terlalu hampir dengan tebing Sungai Kelantan berdepan bahaya hakisan tebing.
Penduduk di Taman Adabi, Wan Izuddin Wan Ibrahim, 60, berkata, keadaan runtuhan tebing di kawasan rumahnya semakin teruk.
Dia bimbang jika langkah segera tidak diambil berkemungkinan besar runtuhan lebih besar dan membahayakan penduduk akan berlaku.
"Jadi saya berharap tindakan dapat diambil dengan secepat mungkin," katanya.
Seorang lagi penduduk, Wan Izwan Shah Muhd Isa, 60, berkata, kawasan rumahnya dengan tebing Sungai Kelantan kini berjarak tiga meter sahaja.
Tambahnya, setiap hari ada sahaja pergerakan tanah di kawasan tebing itu membuatkan hatinya tidak senang duduk memikirkan masalah tersebut.
"Tambahan pula musim sekarang hujan lebat pada waktu petang. Jadi saya harap tindakan segera dapat diambil memandangkan musim tengkujuh semakin hampir tiba," katanya.
Sementara itu, wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir Mohamad Nasriff Daud ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Malah, beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada JPS dan pihak berkenaan sudah membawa masalah itu ke peringkat Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim. -Sinar Harian