KUALA LUMPUR: Op Pintas Mega bagi membanteras jenayah pemerdagangan orang yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelamatkan 137 warga asing termasuk kanak-kanak yang menjadi mangsa eksploitasi buruh.

Operasi yang dijalankan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu turut bertindak menahan 398 individu.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, operasi banteras jenayah pemerdagangan orang secara holistik tahun ini dibuat di seluruh negara menerusi dua fasa.

Menurutnya, fasa pertama pada Januari berjaya melaksanakan 42 serbuan dan menahan 285 individu membabitkan warga tempatan dan asing.

"Seramai 64 mangsa diselamatkan terdiri daripada 12 lelaki dan 22 wanita selain 10 kanak-kanak lelaki serta 20 kanak-kanak perempuan," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Tambah Soffian, fasa kedua pada Jun lalu pula merekodkan 33 serbuan dengan 113 tangkapan warga tempatan dan asing.

Katanya, polis menyelamatkan 73 individu iaitu 25 lelaki, 26 wanita serta 22 kanak-kanak lelaki.

Mengulas mengenai status kesemua warganegara mangsa yang diselamatkan, beliau berkata, paling ramai ialah warga Myanmar iaitu 35 orang diikuti Thailand (25 orang) dan Indonesia (23 orang).

"Selebihnya membabitkan Bangladesh (17 orang), Filipina (9 orang), Malaysia (8 orang), Kemboja, Vietnam dan China masing-masing lima orang, etnik Rohingya (3 orang) serta dua Nepal," ujarnya.

Jelasnya, operasi secara bersepadu melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pihak berkuasa tempatan ini menyasarkan premis kilang, ladang, perikanan, sektor perkhidmatan dan pengemis.

Tegas Soffian, PDRM tidak berkompromi dengan jenayah pemerdagangan orang dan akan mengambil tindakan undang-undang termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). - Sinar Harian