Ops Tapak Semaian Siri II yang dilakukan Kementerian Kesihatan 15 September lalu mengenal pasti 134 daripada 440 premis yang diperiksa, menjadi kawasan takungan nyamuk aedes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, 133 pengusaha terbabit dikenakan kompaun, manakala sebuah tapak semaian di Melaka diarah tutup sementara.

"Sebuah premis tapak semaian di Melaka diarahkan tutup untuk sementara di bawah subseksyen 8 (3) (aa) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.

"Premis ini berkeluasan 4 ekar diberi arahan untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan agar tidak lagi menimbulkan keadaan yang bahaya kepada kesihatan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pengusaha tapak semaian yang melakukan kesalahan itu dikenakan kompaun RM500 bagi kesalahan di bawah subseksyen 13 kurungan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.

"Mengikut akta sama, mereka yang melakukan kesalahan berkenaan juga boleh dikenakan denda RM10,000 atau 2 tahun penjara, atau kedua-duanya sekali.

"Bagi kesalahan berulang, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM50,000, atau dipenjara 5 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Operasi penguatkuasaan yang dibuat secara mengejut itu mensasarkan tapak semaian di lokaliti kes denggi.

"Kementerian Kesihatan berharap untuk membangunkan rasa tanggungjawab dalam kalangan pengusaha tapak semaian untuk bersama-sama menjaga kesihatan diri dan masyarakat sekeliling secara tidak langsung menyumbang kepada kesejahteraan rakyat," ujar beliau.

Operasi itu turut disertai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sehingga 15 Ogos lalu, 75,795 kes denggi dicatatkan di seluruh negara, meningkat 26.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pada masa sama, 212 kematian akibat denggi direkodkan.