Kesemua 13 anggota komando dari Kem Tentera Sungai Udang Melaka yang dilaporkan hilang selepas bot mereka dipukul ribut di perairan Selat Melaka berdekatan Dataran 1Malaysia Klebang malam semalam, berjaya ditemui semula.

Kesemua komando itu ditemui orang awam kira-kira pukul 1.19 pagi Isnin.

Mereka dibawa ke Hospital Kem Terendak untuk mendapatkan rawatan.

Sebelum ini 13 anggota komando termasuk dua jurulatih dari Kem Sungai Udang itu dikhuatiri lemas di perairan Selat Melaka apabila bot yang dinaiki mereka bagi sesi latihan mendayung dipukul ombak dalam keadaan angin kencang.

Semasa kejadian mereka berlepas dari Kem Sungai Udang untuk ke Pulau Nangka.

Menurut laporan, seorang pegawai dan 45 anggota terlibat dalam latihan itu menggunakan 5 bot.

Bagaimanapun hanya empat buah bot tiba ke destinasi yang dituju.

Operasi mencari dan menyelamat segera dilancarkan melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, Jabatan Pertahanan Awam, tentera dan APMM.