SHAH ALAM: Seorang nelayan warga tempatan dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh dari bot yang dinaiki bersama rakannya di perairan Batu Laut pada Isnin lepas.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata pihaknya menerima aduan mengenai kejadian itu daripada wakil Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Langat sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan.

Beliau berkata Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru telah mengaktifkan OP Carilamat manakala Maritim Selangor mewujudkan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Rumah Peranginan Persekutuan Morib bagi menyelaras operasi di lokasi.

"Mangsa K. Kesavan Ramakrishnan, 60, dikatakan keluar ke laut bersama rakan menggunakan bot kelas A dengan mengenakan baju kolar belang merah putih dan berseluar pendek berwarna gelap.

"Berdasarkan laporan diterima, kejadian berlaku apabila mangsa dikatakan terjatuh selepas besi yang dipegang berhampiran kemudi bot patah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Muhaimin berkata sektor pencarian bagi operasi itu yang kini memasuki hari ketiga diluaskan kepada 14 batu nautika dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.

"Hingga petang tadi, tiada sebarang petunjuk ditemukan dan pencarian memfokuskan di sekitar posisi terakhir mangsa jatuh laut," katanya.

Beliau berkata operasi turut dijalankan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Skuad PANTAS Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dan beberapa bot nelayan tempatan.

Beliau dalam kenyataan sama, menasihatkan orang ramai yang ingin turun ke laut untuk mengutamakan keselamatan dan peka dengan keadaan cuaca semasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

-- BERNAMA