MARAN: Seramai 13 individu yang terkandas di seberang sungai akibat kejadian kepala air di Sungai Lubuk Ujik, Taman Che Minah Sayang, dekat sini, berjaya diselamatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Maran.

Kesemua mangsa yang terdiri daripada dua keluarga itu dilaporkan sedang bercuti menziarah keluarga mereka di sini dan dikatakan telah pergi berkelah ke kawasan tersebut.

Komander Operasi dari BBP Daerah Maran, PPgB Shamsul Affendy berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan dengan insiden berkenaan dan bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, seramai enam anggota dengan dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian untuk melakukan operasi penyelamatan semua mangsa.

“Anggota BBP Maran menggunakan kaedah penyeberangan sungai (river crossing) menggunakan tali dan membawa keluar semua mangsa yang berada di seberang sungai ke tempat yang selamat.

"Semua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan pulang ke rumah keluarga mereka di sini. Operasi selesai pada jam 4.10 petang, ” katanya.

Kesemua individu terbabit terdiri daripada tiga lelaki dewasa, tiga wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan.