Seramai 108 tekong, 11 penyeludup, 396 pendatang tanpa izin (PATI) dicekup pihak berkuasa sejak 1 Mei hingga Ahad kerana cuba menyusup masuk sempadan negara secara haram melalui lorong tikus.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain itu, pihak berkuasa turut merampas 13 buah kapal yang digunakan untuk tujuan berkenaan.

"Agensi penguat kuasa juga berjaya mengusir 140 PATI, enam tekong serta 22 kapal ketika cuba membolosi kawasan sempadan negara," katanya pada sidang media di Putrajaya di sini, pada Isnin.

Ismail Sabri memberitahu, Operasi Benteng itu membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) bagi mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI.

Beliau berkata, ia adalah sebagai mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19.

Dalam perkembangan berasingan, ujar beliau, seramai 291 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dikuarantin wajib pada Ahad.

Sehingga ini katanya, sebanyak 51,090 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin wajib sejak 3 April lalu dan 40,922 daripadanya dibenarkan pulang.