Seramai 106 warga Sarawak termasuk empat doktor dibawa pulang ke negeri itu menerusi penerbangan khas Malaysia Airlines pada Khamis.

Kesemua mereka merupakan individu dan keluarga yang terkandas di Kuala Lumpur sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Sarawak, Leftenan (PA) Mohd Zaidi Jili, ketibaan mereka bagaimanapun dipantau rapi termasuk menjalani saringan kesihatan sebelum dibenarkan menaiki bas menuju ke pusat kuarantin yang disediakan.

“Mereka hendaklah mematuhi setiap arahan dikeluarkan kerajaan dengan menjalani kuarantin selama 14 hari bagi memutuskan rantaian COVID-19 ini.

Kesemua yang tiba dipantau rapi sebelum dibenarkan menaiki bas menuju ke pusat kuarantin.

“Untuk tempoh ini, apa yang penting mereka patuh dan mengamalkan segala panduan dikeluarkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan amalkan tahap kebersihan yang tinggi,” ujarnya.

Lapan buah bas digunakan untuk menghantar kesemua penumpang terlibat ke tiga buah hotel yang disediakan di Kuching.

Lapan buah bas digunakan untuk menghantar kesemua penumpang terlibat ke tiga buah hotel yang disediakan di Kuching.

Dalam pada sama Mohd Zaidi turut menegaskan bahawa tiada ahli keluarga dibenarkan melawat sepanjang tempoh ini dan hanya dibernarkan menghantar barangan melalui kaunter daftar masuk sehingga tempoh 14 hari ini tamat.

Sementara itu kesemua bas yang digunakan dalam operasi akan menjalani proses nyah cemar.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba Sarawak, Tiong Ling Hii, operasi ini penting dalam mengurangkan risiko jangkitan kepada orang lain.

“Proses nyah cemar ini penting sebab kita tidak tahu lagi status penumpang turun dan sebelum masuk ke kawasan kuarantin ini jadi proses ini perlu dijalankan.

“Kesemua bas ini akan digunakan untuk penumpang seterusnya maka ini membantu mengurangkan risiko,” tambahnya.