Seramai 102 warga asing ditahan dalam Ops Bersepadu Cegah Jenayah bagi mengesan pendatang tanpa izin di beberapa kawasan tumpuan di sekitar ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata operasi bermula 4 petang Jumaat melibatkan beberapa lokasi iaitu Taman Desa Petaling, Kompleks Kota Raya, Taman Miharja, Jalan Alor dan Bukit Jalil.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada 35 warga Bangladesh, Myanmar (15), Indonesia (26), India (3), Pakistan (6), Nepal (13), Syria (3) dan seorang dari Nigeria.

"Tindakan diambil mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pind 2002) iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah dan akta-akta yang berkaitan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Selain itu, beliau berkata dua lelaki tempatan bersama empat lagi lelaki warga Bangladesh ditahan ketika sedang bermain judi di sebuah tapak pembinaan di ibu negara.

"Lelaki tempatan yang ditahan dipercayai menganjurkan aktiviti judi dan polis merampas peralatan judi serta wang tunai berjumlah RM2,118," katanya.

Mazlan berkata kesemua yang ditahan dibawa ke Lokap Berpusat Jinjang untuk tindakan lanjut.

Katanya, operasi tersebut akan diteruskan bagi membanteras permasalahan kebanjiran warga asing sekali gus berusaha menurunkan kadar jenayah yang disebabkan oleh warga asing.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2146 9999 atau balai polis berdekatan," katanya.

-- BERNAMA