IPOH: Sepatah ditanya, sepatah dijawab. Bukan bermaksud gadis berusia 25 tahun ini sombong. Yang mengenalinya pasti tahu bahawa dia seorang yang agak pemalu.

Namun, dalam sifat pemalu serta pendiam itu dia ada kemahiran yang tidak ramai miliki dan mungkin dicemburui iaitu menebar roti canai.

Nur Azierah Abd Aziz atau mesra disapa Angah berkata, dia mula menebar roti canai sejak berusia 15 tahun lagi.


Ketika di bangku sekolah, dia dan adik beradik lain memang sering membantu ibu dan ayahnya, Abd Aziz Idris, 54, di kedai makan.

Bagi yang mengenali keluarga ini pasti tahu mereka sudah berkecimpung dalam perniagaan berasaskan roti canai dan lauk pauk sejak tahun 2010.

Bercerita lebih lanjut mengenai perniagaan keluarga itu, Angah berkata dia kini membantu mengusahakan kedai makan keluarga secara sepenuh masa di Taman Sri Kanthan, Chemor di sini.

Jelas anak kedua daripada lapan beradik ini lagi, dia dan beberapa adik beradik lain mahir membuat dan menebar roti canai.

"Saya selalu bantu ayah buat doh roti canai, dari kecil tengok ayah buat. Lama kelamaan pandai dan tahu tebar roti.

"Dalam keluarga ada lima perempuan dan tiga lelaki. Tiga daripada kami (perempuan) pandai tebar roti. Boleh kata kebanyakannya kerja dengan ayah.

"Begitu juga adik lelaki yang sekarang usahakan warung roti canai sendiri di Chemor," katanya kepada Astro AWANI.


Ditanya tentang perasaannya menjadi salah seorang wanita yang menebar roti canai , Angah berpendapat pekerjaannya itu memang mencabar dan menyeronokkan.

"Pada mulanya memang saya rasa malu dan kekok sebab kebanyakan yang tebar dalam kalangan lelaki.

"Tetapi rasa malu itu hilang perlahan-lahan, ditambah dengan maklum balas daripada pelanggan.

"Kalau nak kata kena usik ke apa, itu perkara biasa. Bukan usik ke arah negatif tapi dengan memberi komen membina.

"Sebab mereka kata tak ramai wanita pandai tebar roti, ramai yang tertarik dan ada yang puji saya dengan skill ini, alhamdulillah, " katanya lagi.


Dia mengakui pernah cuba beberapa skill seperti roti terbang, namun katanya cubaan itu belum menjadi.

Sambil menambah, dia perlu mempelajari lebih banyak kemahiran sedemikian, di samping latihan yang konsisten.

Memandangkan trend sekarang yang menggunakan platform media sosial untuk perniagaan, Angah kini dalam perancangan mempertimbangkan idea tersebut.

"Ada juga terfikir nak hasilkan video dan letak di media sosial seperti YouTube, Tik Tok dan sebagainya, tapi banyak kali tangguh sebab saya segan.

"Ramai yang bagi galakan dan cadangan untuk buat video, mereka kata itu salah satu strategi nak perkenalkan bisnes. Insya-Allah saya akan pertimbangkan idea itu," ujarnya.


Menyentuh tentang cita-cita dan perancangan masa depan, dia mahu menghasilkan roti canai sejuk beku sebagai salah satu produk tambahan bagi menjana pendapatan.

Katanya, jika hasrat itu tercapai, dia akan mempromosikan produk itu di kawasan setempat di Chemor terlebih dahulu sebelum dipasarkan di lokasi lain.

"Saya dah fikir lama tentang itu (roti canai sejuk beku), sebab sampai bila bergantung pada satu kerja saja. Kena ada sumber lain untuk saya tambah pendapatan.

"Ramai kawan-kawan saya yang sambung belajar lepas tamat persekolahan. Tapi saya percaya rezeki saya ada dalam bidang perniagaan, walaupun tidak sambung pengajian," ujarnya.


Untuk makluman, gerai di sini sinonim dengan roti canai yang dimakan bersama kuah kari kaki ayam.

"Sesetengah orang cakap roti canai di sini lembut dan berbeza dengan kedai lain.

"Pelanggan selalunya suka makan roti canai dengan kuah kari kaki ayam, ada juga yang minta supaya roti canai itu nipis dan garing, terpulang kepada selera masing-masing," katanya lagi.


Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, permotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !