PELABUHAN KLANG: Seramai 10,000 pelaut dan petugas pelabuhan dari sektor maritim negara dijadualkan menerima suntikan vaksin COVID-19 pada fasa pertama Program Vaksinasi Sektor Pengangkutan yang bermula pada Jumaat.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kementeriannya menyasarkan kapasiti 1,000 dos suntikan vaksin sehari.

Mereka adalah sebahagian daripada lebih 50,000 pekerja industri pengangkutan meliputi tiga sektor perkhidmatan iaitu maritim, udara dan darat yang dijadualkan menerima vaksin itu.

“Sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pertama 18 Mac sehingga hari ini, pelabuhan tidak pernah tutup, pengangkutan awam kita tidak pernah berehat dan begitu juga lapangan terbang menghadapi masalah dari segi jumlah flight penerbangan yang masuk dan keluar tetapi ianya masih dibuka selama 24 jam.

"Ini menunjukkan sektor pengangkutan adalah sangat penting dan ianya perlu diberi perhatian. Jadi MOT (Kementerian Pengangkutan) telah mendapatkan kelulusan yang Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 iaitu CITF pada 21 Jun tahun ini bagi melaksanakan program pemberian vaksin kepada barisan hadapan sektor pengangkutan iaitu kepada pelaut, petugas pelabuhan pergudangan, lapangan terbang, pengangkutan darat yang dianggarkan untuk fasa pertama ini seramai 59,155 orang, " katanya.

Seramai 10,000 pelaut bakal terima vaksin - Wee Ka Siong


Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat Tapak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sektor Pengangkutan (Maritim) Pelabuhan Klang, di Dewan Serbaguna Kelab Sukan Lembaga Pelabuhan Klang, pada Jumaat.

Hadir sama dalam lawatan itu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.

Tambahnya, pemberian vaksin ini diberikan secara percuma dan seramai 18,596 orang penyelia dan petugas pelabuhan wilayah tengah yang layak akan turut menerima vaksin bagi fasa pertama ini.

PPV tersebut menyasarkan pelaut yang aktif bekerja di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur.

Program ini dijangka berlangsung selama 10 hari, bermula 25 Jun sehingga 4 Julai ini di Pusat Vaksinasi Dewan Serbaguna Kelab Sosial dan Rekreasi LPK (Sektor Maritim Klang PPV) di Pelabuhan Klang.

Sementara itu, Khairy berkata, program ini dilaksanakan bagi mengurangkan risiko jangkitan di tempat kerja yang telah terbukti adanya lambakan beberapa kluster. 

"Bekalan vaksin akan ditambah lagi bagi yang diperlukan oleh sektor pengangkutan, dan hari ini kita baru luluskan 10,000 dos di maritim Klang yang memerlukan 15,000 lagi dos vaksin," katanya.

Selain itu kata Khairy, program vaksinasi bagi sektor pengangkutan udara dan awam darat pula akan bermula pada 5 Julai 2021 di Bangunan Terminal Utama (KLIA) dengan melibatkan seramai 22, 243 petugas syarikat penerbangan dan kargo manakala 19, 259 untuk petugas rel dan pemandu bas.