Seribu kotak makanan yang dibawa Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) berjaya disampaikan kepada kira-kira 1,000 keluarga di Gaza, Palestin pada Ahad.

Naib presiden KP1M, Datuk Mohd Farid Hassan berkata bekalan makanan itu dan penghantarannya diurus pejabat penyelarasan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Gaza, dengan kosnya ditanggung KP1M.

Katanya presiden KP1M Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, yang juga pengerusi Biro Kebajikan Umno, mengurus transaksi itu secara terus dari pejabat KP1M di Kuala Lumpur.

"Beliau (Abdul Azeez) mengirim kepada saya gambar tentang penerimaan penghantaran itu daripada OIC," katanya kepada wartawan Malaysia, termasuk daripada Bernama, yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza di sini pada lewat Ahad.

Mohd Farid berkata mengikut anggaran KP1M, setiap kotak yang dihantar itu boleh memenuhi keperluan makanan bagi sesebuah keluarga yang mempunyai lima anggota untuk sekurang-kurangnya sebulan.

Katanya, walaupun berita tersebut menggembirakan pasukan berkenaan, tetapi objektif utama misi itu untuk memasuki Gaza belum tercapai kerana mereka masih menunggu kelulusan permit masuk.

Bagaimanapun, menurut Mohd Farid, pasukan itu mendapat maklum balas positif melalui beberapa perjumpaan yang diadakan dengan pihak berkuasa di sini.

"Kami mendapat kerjasama baik daripada kedutaan kita di sini sejak 7 Ogos dan kami sudah beberapa kali berjumpa dengan pegawai daripada kedutaan sejak hari pertama tiba di sini.

"Pagi tadi, kami mengadakan perjumpaan dengan Duta Besar Malaysia (di Mesir) di sini dan sehubungan itu, kami berharap akan mendapat berita baik dalam tempoh terdekat," katanya.

Mengenai rancangan selanjutnya,, Mohd Farid berkata sekretariat KP1M di sini telah mengatur kunjungan hormat Kementerian Luar ke sini pada Isnin dalam usaha mempercepatkan proses mendapatkan permit masuk.

Satu perjumpaan dengan pengarah Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin di sini juga diatur untuk membincangkan perkara berkaitan logistik.

"Mengikut apa yang dirancang setakat ini, pengangkutan dan penyerahan bantuan KP1M kepada penduduk Gaza, yang dibawa dari Malaysia dan Mesir, akan dibantu Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin dan Mesir. Kami juga sudah menyediakan lori bagi tujuan ini," kata Mohd Farid.

Misi kemanusian ini merancang menghantar 40 tan metrik makanan dan bekalan ubat-ubatan bagi meringankan beban yang ditanggung kira-kira 20,000 penduduk Gaza yang dilanda perang.

Pasukan pertama sebanyak lapan anggota dan pasukan kedua dengan 20 anggota daripada keseluruhan 65 peserta misi kemanusiaan ke Gaza, tiba di sini pada Khamis dan Ahad.

Abdul Aziz, yang mengetuai misi ini dijangka tiba di sini pada Rabu.

Kesemua kumpulan itu dijangka bergerak ke Gaza melalui sempadan Rafah pada Rabu.

Bantuan kemanusiaan ini bertujuan meringankan penderitaan rakyat Palestin di Gaza, wilayah yang dikepung dan menjadi sasaran serangan tentera Israel.

Setakat ini serangan itu menyebabkan 2,000 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam, terbunuh dan beratus-ratus lagi cedera.