KUALA LUMPUR: Tahun 2022 sekali lagi menyaksikan mahkamah menjadi tumpuan apabila melakar beberapa keputusan penting dalam kes rasuah, pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah serta bunuh yang membabitkan ahli politik dan tokoh atau orang kenamaan.
Bagaimanapun, paling mencuri perhatian ialah kes rasuah membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Keputusan mahkamah dalam kes berprofil tinggi itu turut menyaksikan Najib menjadi bekas Perdana Menteri pertama Malaysia yang terpaksa meringkuk dalam penjara bagi kesalahan jenayah.
Najib, 69, telah dibawa ke Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya kerana menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.
Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, ketika menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi, memutuskan bahawa bekas Perdana Menteri itu semasa perbicaraan kes tidak pernah mempersoal wang sebanyak RM42 juta yang dideposit ke akaun bank peribadinya.
Seminggu selepas itu, isteri Najib pula mencuri tumpuan apabila Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta selepas mendapati beliau bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Mahkamah turut memerintahkan Rosmah, 70, dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda. Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan beliau untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.
Rosmah turut berdepan pertuduhan membabitkan kes pengubahan wang haram dan mengelak daripada membayar cukai.
Mahkamah Tinggi telah menetapkan 12 Mei tahun depan untuk perbicaraan.
Sementara itu, Najib berdepan empat kes penyelewengan wang sebanyak RM2.3 bilion dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menggunakan kedudukannya untuk meminda laporan audit 1MDB, pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta.
Mahkamah Tinggi telah menetapkan 30 Jan tahun depan untuk memutuskan sama ada Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy akan dibebaskan daripada pertuduhan atau diperintah membela diri.
Satu lagi kes berprofil tinggi yang meraih perhatian umum ialah kes Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membabitkan Sistem Visa Asing apabila Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Sept melepas dan membebaskan beliau daripada 40 pertuduhan menerima rasuah di akhir kes pendakwaan.
Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membebaskan Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO, selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi semua pertuduhan apabila mereka gagal membuktikan elemen terpenting iaitu penerimaan wang rasuah dan saksi utama pula tidak boleh dipercayai.
Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, pendakwaan memfailkan rayuan pada 26 Sept dan Mahkamah Rayuan telah menetapkan 10 Jan tahun depan untuk pengurusan kes.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid masih dibicarakan atas 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Pada 24 Jan lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan beliau membela diri bagi semua pertuduhan dan setakat ini, pembelaan memanggil enam saksi termasuk Ahmad Zahid.
Perbicaraan kes itu bersambung pada 6 Jan tahun depan.
Satu lagi kes berprofil tinggi yang menjadi tajuk utama akhbar ialah pembebasan bekas Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim daripada tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan projek jalan raya di Perak serta Kedah.
Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun dalam kenyataan memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak meneruskan pertuduhan terhadap Abdul Azeez kerana tiada keterangan dan fakta yang memihak kepada pendakwaan.
Begitu juga dengan pembebasan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah daripada dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Najib dan membuat pengisytiharan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Pada 28 Ok, Mahkamah Tinggi memutuskan pendakwaan gagal membuktikan RM9.5 juta yang diterima oleh peguam itu daripada Najib adalah hasil aktiviti haram dan keterangan saksi juga tidak menunjukkan terdapat aktiviti haram dan dari mana wang itu diperoleh.
Pada hari sama, Mahkamah Tinggi lain memerintahkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membela diri atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, penyelewengan aset dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada.
Turut menjadi tumpuan ialah kes rasuah membabitkan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, apabila pasangan itu diperintah oleh Mahkamah Sesyen untuk membela diri pada 3 Jan 2023.
Bung Moktar dan Zizie Izette kemudian memfailkan permohonan berasingan untuk menyemak keputusan itu namun ditolak selepas Mahkamah Tinggi membenarkan bantahan awal pendakwaan.
Pada 26 Mei, Mahkamah Sesyen telah menjatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 ke atas bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony selepas mendapati beliau bersalah memalsukan surat sokongan bagi kerja-kerja penyelenggaraan untuk Sistem Mekanikal dan Elektrik di Universiti Malaysia Sabah.
Peter mengemukakan rayuan dan Mahkamah Tinggi menetapkan 27 Jan tahun depan untuk mendengar permohonan beliau bagi mengetepikan sabitan serta hukuman terhadapnya.
Di Ipoh, Perak pula, Mahkamah Tinggi pada 27 Julai telah menjatuhi hukuman penjara 13 tahun dengan dua sebatan ke atas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Tronoh Paul Yong Choo Kiong selepas beliau didapati bersalah merogol pembantu rumahnya seorang warga Indonesia pada 2019.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Yong untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.
Kes jenayah lain yang menjadi perhatian seluruh negara di media sosial membabitkan seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella.
Pada 24 Nov, Mahkamah Sesyen memerintahkan pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali membela diri atas pertuduhan mengabaikan dan mendera remaja perempuan berusia 13 tahun itu dan menetapkan 5 Jan tahun depan untuk perbicaraan.
Mahkamah mendapati Bella mengalami kecederaan fizikal serta emosi ketika di bawah jagaan Siti Bainun dan pendakwaan telah berjaya membuktikan bahawa tertuduh menganiaya serta menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi kepada remaja itu.
Pada 21 Jun, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjadi tumpuan apabila melepas dan membebaskan Samirah Muzaffar serta dua remaja daripada pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan empat tahun lepas.
Hakim Ab Karim Ab Rahman berkata tiada bukti secara langsung yang menunjukkan ketiga-tiga tertuduh melakukan kesalahan itu dan tiada kesinambungan antara masa kejadian dengan mereka serta bukti bahawa mereka adalah orang terakhir yang berada dengan Nazrin tidak boleh dikatakan sebagai membawa kepada kesalahan membunuh mangsa.
Pada 13 April, Mahkamah Tinggi Johor Bahru menjatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 ke atas seorang kerani wanita selepas mendapati beliau bersalah memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kematian lapan remaja yang sedang menunggang basikal lima tahun lepas.
Susulan itu, Sam Ke Ting memfailkan rayuan dan mahkamah menetapkan 31 Mac tahun depan untuk mendengar permohonannya untuk mengetepikan sabitan, hukuman penjara serta denda.
Selain itu, keputusan berhubung dalam kes sivil turut menjadi tajuk utama akhbar termasuk keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 16 Dis yang memberikan ganti rugi RM5 juta kepada keluarga model Mongolia Altantuya Shaariibuu atas kematian wanita itu pada 2006 selepas membenarkan saman mereka terhadap bekas anggota polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar serta Abdul Razak Baginda dan kerajaan Malaysia.
Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memerintahkan keempat-empat defendan secara bersama membayar pampasan itu kepada plaintif (Dr Shaariibuu Setev dan Altantsetseg Sanjaa serta dua cucu lelaki mereka iaitu Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga) sebagai ganti rugi am, teruk dan teladan.
Mahkamah memutuskan bahawa plaintif telah membuktikan bahawa defendan pertama dan kedua (Azilah and Sirul Azhar) secara kejam membunuh mangsa dan ini adalah pembunuhan yang dirancang dengan Altantuya ditembak, bahan letupan diikat pada badannya sebelum diletupkan sehingga berkecai.
Mahkamah juga mendapati plaintif berjaya membuktikan berdasarkan imbangan kebarangkalian bahawa defendan ketiga (Abdul Razak) mempunyai peranan dalam kematian mangsa dan jika bukan kerana beliau, defendan pertama dan kedua tidak akan membawa si mati masuk ke dalam kereta mereka dari kediaman defendan ketiga sebelum membunuh wanita itu.
Kes lain ialah keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Okt yang menolak saman RM100 juta oleh Sultanah of Terengganu Sultanah Nur Zahirah terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown dan dua lagi yang didakwa memfitnah baginda dalam buku bertajuk 'The Sarawak Report-The Inside 1MDB Expose.'
Pesuruhjaya Kehakiman Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan memutuskan bahawa tiada kenyataan berunsur fitnah dalam buku defendan dan memerintahkan agar kos RM80,000 dibayar kepada mereka.
Pada 25 Nov, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas untuk membatalkan saman yang difailkan Najib terhadapnya atas dakwaan misfeasans dalam jawatan awam kerana mendakwa beliau dengan pertuduhan berkaitan 1MDB dan memutuskan bahawa tuntutan Najib adalah jelas tidak boleh dipertahan serta tiada kausa tindakan yang munasabah.
Dalam satu lagi kes, Mahkamah Tinggi pada 14 Nov menolak permohonan pendakwaan bagi melucut hak 2,435 unit barang kemas, tujuh jam tangan mewah serta 29 beg tangan berjenama serta wang tunai berjumlah RM114,164,393.44 milik Najib dan Rosmah yang dirampas dalam serbuan oleh polis pada Mei 2018.
Susulan itu, pada 30 Nov, Idrus mengesahkan bahawa AGC tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut dan ini bermakna Najib serta Rosmah bebas menuntut kembali barangan berharga mereka.
Barangan terbabit, yang didakwa hasil aktiviti haram yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, telah dirampas di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Tahun 2022 turut menyaksikan Mahkamah Rayuan pada 5 Ogos dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia secara automatik.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara.
Keputusan majoriti dicapai oleh Kamaluddin dan Datuk Azizah Nawawi manakala Datuk S. Nantha Balan tidak bersetuju.
-- BERNAMA
Bernama
Thu Dec 29 2022
Paling mencuri perhatian antara semua keputusan mahkamah tahun 2022 ialah kes rasuah membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Lelaki maut kereta terbabas langgar pokok di Manjung
Mangsa disahkan maut di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
Durian segar Malaysia di China habis dijual tidak sampai 24 jam
Tidak sampai 24 jam, hampir 40 tan durian segar pertama Malaysia ke China yang dipasarkan pada 26 Ogos lepas di outlet peruncitan terpilih di enam wilayah negara Tembok Besar itu habis terjual.
Keldai akaun ditahan sebabkan kerugian hampir RM60,000
Polis menahan lelaki berumur 58 tahun dipercayai keldai akaun kepada sindiket penipuan yang menawarkan kerja sambilan tidak wujud secara dalam talian sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM59,569 baru-baru ini.
Lebih 200 maut akibat taufan Helene di AS
Seramai 200 orang disahkan maut sehingga Jumaat selepas Taufan Helene melanda beberapa negeri di tenggara Amerika Syarikat (AS), menjadikannya ribut paling membahayakan kedua yang melanda AS dalam lebih setengah abad.
Taiwan laksana operasi pembersihan selepas taufan Krathon
Taiwan sedang giat membersihkan kerosakan akibat banjir dan angin kencang selepas Taufan Krathon melanda bandar pelabuhan utama, sementara penduduk di sebahagian besar kawasan lain di pulau itu kembali bekerja dan pasaran kewangan dibuka semula.
AS dakwa Rusia, Iran dan China guna AI sabotaj pilihan raya
Amerika Syarikat (AS) berdepan ancaman dari Rusia, Iran dan China, yang didakwa cuba mempengaruhi Pilihan Raya Presiden 2024 dengan menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menyebarkan maklumat palsu serta mencetuskan perpecahan.
Taiwan laksana operasi pembersihan selepas taufan Krathon
Taiwan sedang giat membersihkan kerosakan akibat banjir dan angin kencang selepas Taufan Krathon melanda bandar pelabuhan utama.
Malaysia sokong Pakistan jadi rakan dialog penuh dengan ASEAN
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia berada dalam kedudukan untuk membuka peluang kepada hasrat Pakistan dalam menjadi rakan dialog.
Deklarasai Doha seru gencatan senjata di Gaza
Deklarasi Doha, yang dikeluarkan pada Sidang Kemuncak Dialog Kerjasama Asia Ketiga dengan tumpuan pada 'Diplomasi Sukan', menekankan keperluan mendesak untuk gencatan senjata segera dan menyeluruh di Gaza.
3 hospital di Lubnan henti operasi, rosak akibat serangan Israel
Tiga hospital di Lubnan, termasuk satu di pinggir kawasan selatan Beirut mengumumkan pemberhentian operasi pada Jumaat susulan pengeboman berterusan oleh Israel.
Keputusan sama ada Najib perlu bela diri kes 1MDB 30 Okt ini
Keputusan sama ada Najib yang menghadapi pertuduhan menyalah guna kedudukan dan pengubahan wang dana 1MDB perlu membela diri atau tidak akan diputuskan 30 Okt ini.
Saksi utama pendakwaan boleh dipercayai, beri keterangan konsisten terhadap Najib - DPP
Saksi terbabit mengesahkan bahawa mereka telah bertindak atas kepercayaan bahawa arahan kepada mereka datang terus daripada Najib.
Tindakan Najib jelas menunjukkan kepentingannya dalam 1MDB - Pendakwaan
Mahkamah diberitahu tindakan dan kelakuan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pelbagai insiden berkaitan dengan 1MDB jelas menunjukkan beliau mempunyai kepentingan peribadi.
Keyakinan Najib RM2 bilion adalah derma dari Arab Saudi munasabah - Peguam
Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa keyakinan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa RM2 bilion merupakan derma dari Arab Saudi adalah munasabah.
Rayuan Najib, anak tangguh prosiding bankrap didengar 6 Jan 2025
Rayuan Najib dan anak terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka untuk menangguhkan prosiding kebankrapan terhadap mereka akan didengar pada 6 Jan tahun depan.
Kes 1MDB: Hakim tanya peguam Najib beza perbelanjaan peribadi dan politik
Hakim dalam kes 1MDB Najib mengajukan soalan kepada pasukan pembelaan mengenai perbezaan antara perbelanjaan untuk tujuan peribadi dan politik.
Najib: Tugas Lembaga Pengarah urus dana SRC
Najib berkata beliau mempercayai BOD untuk mengendalikan hal ehwal syarikat itu kerana ia terdiri daripada individu yang berkelayakan tinggi.
Najib: Akaun bank saya digunakan bagi tujuan CSR
Najib berkata meskipun akaun semasa tersebut didaftarkan atas nama beliau, ia tidak digunakan bagi perbankan peribadi atau urusan persendirian.
Najib tidak minta kajian kebolehlaksanaan untuk pinjaman SRC
Najib berkata ini kerana Lembaga Pengarah SRC International adalah terdiri daripada individu yang mahir dan berkebolehan.
Saman SRC: Najib nafi arah SRC menerusi Nik Faisal
Najib Tun memberitahu bahawa bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC Nik Faisal Arif Kamil bukanlah penghubung antara syarikat itu dan dirinya.