PELAKON Farid Kamil meluahkan rasa rindu untuk bertemu dua cahaya matanya, Muhammad dan Aurora.

Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari menyatakan isi hatinya itu menerusi video pendek yang dimuat naik di akaun Instagramnya pada Ahad.

Video tersebut merakamkan detik manis Farid bersama anak-anaknya ketika mereka sekeluarga menunaikan umrah baru-baru ini.

“Rindunya pada mereka Ya Allah… sampaikan pada mereka ya Allah kerana aku tidak mampu,” coretnya.


Dalam pada itu, di ruangan komen rata-rata pengikutnya mendoakan agar masalah rumah tangga antara Farid dan isterinya, Diana Danielle dapat diperbaiki.

Mereka juga turut mendoakan agar segala dugaan dan urusan yang dihadapi oleh keluarga kecil ini juga dipermudahkan.

“Allahu sedihnya… doa banyak-banyak bang untuk rumah tangga abang. Insya-Allah ada jalan,” tulis seorang netizen.

“Insya-Allah, doa banyak-banyak di bulan mulia. Semoga dipermudahkan,” coret seorang lagi netizen.

“Stay strong dan adakan perbincangan sebaiknya, solat dan minta di bulan baik ini, insya-Allah. Banyakkan istifar dan berdoa, mudah-mudahan kembali seperti sedia kala,” doa seorang netizen.

Terdahulu, berita kemelut rumah tangga pasangan ini timbul selepas Diana dilaporkan memfailkan permohonan cerai terhadap Farid pada awal bulan ini atas alasan tiada persefahaman dan berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan).

Permohonan cerai disebut di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari di Shah Alam, pagi Isnin. Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada November 2012. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Muhammad dan Aurora.

* Artikel asal disiarkan di Gempak.