KUMPULAN heavy metal terkenal tanah air XPDC Kita Pengyu akan melancarkan tabung prihatin dalam konsertnya yang akan berlangsung pada 22 Jun ini bagi menampung kos perubatan yang terpaksa ditanggung oleh pengulas sukan Astro Arena, Akbar Sahari untuk mengubati penyakit kanser isterinya.


Ringkasan AI
  • XPDC Kita Pengyu akan melancarkan tabung prihatin dalam konsert mereka pada 22 Jun dalam usaha menampung kos perubatan yang ditanggung pengulas sukan Astro Arena, Akbar Sahari, untuk mengubati penyakit kanser isterinya.
  • XPDC Kita Pengyu berasa terpanggil untuk membantu meringankan beban Akbar kerana Astro telah banyak membantu mereka dalam industri muzik tanah air. Mereka berharap tabung tersebut akan mampu meringankan beban yang dihadapi oleh Akbar dan isterinya.
  • Isteri Akbar, Noorsuzilawati Mohd Nor, 43, menghidap kanser usus tahap empat sejak 2020. Kanser tersebut telah merebak ke bahagian paru-paru dan hati serta perut dan keadaannya amat merisaukan. Akbar mengucapkan terima kasih kepada semua anggota XPDC Kita Pengyu yang sudi melancarkan tabung khas untuk isterinya.


Menurut pengurus kumpulan tersebut Yazid Selamat, kesemua anggota XPDC Kita Pengyu berasa terpanggil untuk turut sama membantu meringankan beban Akbar memandangkan Astro selama ini banyak membantu mereka dalam industri muzik tanah air, terutamanya menerusi berita-berita yang menyentuh perkembangan semasa mereka.

"Astro merupakan antara badan penyiaran yang kami anggap seperti sahabat lama yang terlalu banyak membantu kami.

"Tidak sedikit sumbangan dan jasa rakan-rakan Astro pada kami, dan Akbar bukanlah orang asing pada kami.

"Justeru, ini masa dan ruang untuk kami membalas sedikit sebanyak jasa Astro melalui sedikit inisiatif yang tidak seberapa ini.

"Kami harap tabung itu nanti akan sedikit sebanyak mampu meringankan bebanan yang dihadapi oleh Akbar dan isterinya," katanya kepada Astro AWANI.

Jelas Yazid lagi, XPDC Kita Pengyu memahami kesulitan yang dihadapi oleh Akbar dan tentunya ia amat berat untuk ditanggungnya.

XPDC Kita Pengyu dalam pada itu menyeru semua peminat setia mereka yang bakal hadir pada konsert tersebut untuk beramai-ramai memberi sumbangan ikhlas untuk Akbar.

Jelas pemain bass kumpulan itu, Zuar, tabung yang akan digerakkan nanti mungkin tidak hanya terhad kepada satu konsert mereka sahaja, malah akan turut diteruskan dalam konsert seterusnya.

"XPDC Kita Pengyu dijemput mengadakan persembahan di beberapa acara, justeru kita mungkin akan terus menggerakkan tabung untuk dia di Pulau Pinang, juga hujung bulan nanti selain pada konsert 22 Jun ini di Sungai Besi.

"Ia memandangkan jumlah kos yang perlu ditanggung oleh sahabat kita Akbar adalah besar dan kami ikhlas untuk turut sama membantu beliau dan isterinya," katanya.

Sementara itu, Akbar berkata isterinya Noorsuzilawati Mohd Nor, 43, menghidap kanser usus tahap empat sejak 2020.

"Kini kanser tersebut telah merebak ke bahagian paru-paru dan hati serta perut dan keadaan ketika ini amat merisaukan.

"Apapun saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua anggota XPDC Kita Pengyu yang sudi melancarkan tabung khas untuk isteri saya dalan konsert yang bakal mereka adakan.

"Hanya Allah mampu membalas jasa mereka," kata Akbar.

Tambahnya, ketika ini isterinya masih dirawat di sebuah hospital di ibu negara dan beliau amat memerlukan sokongan serta bantuan untuk meringankan bebanan kos yang sedang ditanggungnya.