CADANGAN Finas hendak menilai semula Skim Wajib Tayang filem tempatan di pawagam amat dialu-alukan.

Penilaian semula ini hendaknya bukan bertujuan memberi naungan kepada filem-filem yang tidak mencapai tahap standard dan keperluan tertentu dari segi pemameran dan tayangan. Tidak juga untuk memberi ruang kepada filem-filem yang tidak serasi dengan matlamat pembangunan filem nasional di negara ini, seperti
dimaktubkan di dalam akta perbadanan itu.

Skim Wajib Tayang yang diperkenalkan dalam tahun 1985 itu pada asalnya bertujuan memastikan filem-filem keluaran tempatan mendapat jaminan tempat tayangan di pawagam-pawagam yang dilesenkan Finas dalam jangka masa tertentu. Kini, ia telah berjalan dan memasuki tempoh 40 tahun lamanya.


Kerana negara, masyarakat dan teknologi sinema kini telah berkembang, dan medan pameran filem telah terbuka luas, peluang dan ruang yang sama rata bagi semua kategori filem untuk beredar, tidak lagi boleh dimonpoli oleh mana-mana pihak secara mutlak. Ia kini lebih ditentukan oleh sentimen pemasaran atau market driven yang kuat pengaruhnya.

Selama 40 tahun itu juga Finas tentu sekali mempunyai maklumat dan data yang kukuh untuk menilai kedudukan skim tersebut pada masa ini.

Walaupun begitu saya berpendapat kuasa Finas untuk melaksanakan wajib tayang bagi filem-filem tertentu pada masa tertentu hendaklah terus dikekalkan. Lebih-lebih lagi ketika usaha untuk melahirkan filem-filem kandungan tempatan yang bernilai tinggi, yang tidak begitu berciri popular, seperti filem kenegaraan misalnya sedang giat digalakkan penerbitannya.

Tanpa perlindungan yang sewajarnya melalui Skim Wajib Tayang tentunya kalangan penerbit yang berminat akan berkurangan.

Seperkara yang penting ialah filem-filem jenis ini mempunyai nilai daya saing atau competitive edge yang tinggi di medan apresiasi dan persaingan antarabangsa. Dan, Malaysia tidak seharusnya membelakangkan ini.

Kajian semula itu juga patut menentukan pemilik pawagam yang mendapat hasil langsung dari jualan tiket memainkan peranan yang lebih berkesan dalam mempromosikan filem-filem berkenaan.



Prof. Ts Dr Mahadi J Murat 
Presiden
Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia