Kekayaan pengacara terkenal Oprah Winfrey melonjak beberapa juta dolar lagi dengan hanya satu tweet tentang roti.

Selaku jurucakap syarikat pemakanan seimbang Weight Watchers, Winfrey memuat naik video di Twitter tentang perkembangan beliau sejak memulakan program itu pada Ogos 2015.

Sejam selepas tweet berkenaan dimuat naik, saham Weight Watchers naik $2 (RM8.50).

Sebagai pemegang lebih kurang 6 juta unit saham dalam syarikat itu, Winfrey menerima $12 juta (RM50.98 juta).

"Saya suka roti," kata Winfrey beberapa kali sebelum berkata, "Saya mengawal pemakanan saya.

“Saya berjaya turunkan 26 pound (11.79kg), dan saya makan roti setiap hari."


Pada Oktober, saham Weight Watchers terus melonjak dengan pengumuman Winfrey menyertai syarikat itu bukan sahaja sebagai jurucakap tetapi sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah setelah membeli 10 peratus kepentingan dalam syarikat pengurusan berat badan itu.