PELAKON Azhan Rani, 45, hari ini menceritakan detik kejadian nahas yang menimpanya di Jalan Templer, Rawang, Selangor, pada 17 Januari lalu.

Dalam kemas kini di akaun Instagram, anak kelahiran Tanjung Karang itu berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari ketika dia dalam perjalanan menghala ke ibu negara.

Menerusi hantaran tersebut, Azhan turut memuat naik dua gambar dipercayai pemandu lori tersebut, selain dia yang dilihat dalam keadaan terduduk selepas kemalangan berkenaan.

Akibat daripada kemalangan tersebut, doktor mengesahkan tulang belikatnya pecah.

Bagaimanapun, di sebalik insiden malang itu, Azhan tetap menzahirkan ucapan terima kasih kepada individu yang membantunya.

"Buat bro (saudara) Muhammad Firdaus dan sesiapa sahaja yang membantu saya pada hari kejadian, semoga Allah merahmati kalian. Terima kasih atas jasa baik anda.

"Buat dua orang abang lori, terima kasih kerana berjaya hentikan lori dan tak langgar saya," tulisnya dalam entri tersebut, pada Rabu.


Mengulas lanjut, Azhan menambah dia turut memohon maaf kepada dua beradik yang dipercayai mengakibatkan berlaku kemalangan tersebut kerana meninggikan suara kepada remaja terbabit.

"Mohon jangan bawa motosikal macam itu lagi. Kita sama-sama syukur kerana Allah bagi peluang kita hidup.

"Maaf juga buat motosikal awak hancur," tulisnya lagi.

BACA: 'Dia stabil, masih dalam jagaan pakar' - Beto Kusyairy sahkan Azhan Rani terlibat nahas motosikal 

Azhan dalam pada itu juga menzahirkan rasa syukur kerana dikurnia sahabat yang sentiasa menjadi tulang belakang kepadanya.

"Dua insan hebat ini jadi tulang belakang aku untuk terus berdiri.

"Dulu dan kini, harta paling lumayan anugerah lahir buatku. Terima kasih sahabat Beto Kusyairy dan Tisha Shahar (isteri Beto), serta sahabat-sahabat lain yang tidak henti bertanya khabar.

"Moga syurga menunggu kalian di sana nanti," tulisnya.


Sebelum ini, Beto di akaun media sosialnya memaklumkan Azhan mengalami pecah tulang belikat kiri, retak tulang bahu dan tiga tulang rusuk, selain kecederaan kecil akibat kemalangan tersebut.