KUALA LUMPUR: Sepanjang menjadi anak seni, Anuar Zain dan Ziana Zain tidak pernah tidak disenangi ramai.
Kecintaan peminat-peminat setia mereka tiada tolok bandingnya.
Lantaran personaliti menawan selain memiliki pesona sebagai penghibur, maka tidak hairanlah kenapa dua beradik ini berjaya mengukuhkan kedudukan mereka di persada seni tanah air sejak lebih empat dekad buat Anuar dan tiga dekad buat Ziana.
Justeru, apabila penganjur konsert Anuar Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 mengumumkan penganjuran konsert duo itu, mereka tidak perlu menunggu lama untuk menghilangkan keresahan dan kebimbangan apakah tiket persembahan dapat dijual.
Ini kerana, dalam sekelip mata sahaja, semua tiket konsert dua bintang berprofil tinggi itu sudah habis dijual yang sekali gus mencipta sejarah buat dua penyanyi kesayangan ramai.
Kepada Astro AWANI, Anuar dan Ziana tidak henti-henti memanjatkan kesyukuran pada Yang Maha Esa kerana tidak pernah putus-putus memudahkan setiap urusan kerjaya seni mereka.
Buat Anuar dan Ziana, setiap rezeki dan kebaikan yang Allah kurniakan harus dimanfaatkan mereka dengan sebaik-baik dan sejujur-jujurnya.
“Alhamdulillah rezeki kurniaan Allah SWT, kami bersyukur. Mungkin salah satu sebabnya kerana kita sudah lama tidak bertemu peminat di dalam keadaan berkarya.
"Terima kasih tidak terhingga buat rakan-rakan media dan peminat yang terus memberikan sokongan ikhlas buat kami berdua,” demikian nota penghargaan yang sering dilafazkan penyanyi bersuara emas yang pernah masyhur dengan lagu Bila Resah dan Lelaki Ini.
Ilham penganjuran Konsert Anuar Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 kata, Anuar lagi, tercetus selepas dia dan kakaknya menyuarakan hasrat untuk memenuhi keinginan dan harapan peminat-peminat mereka yang tidak pernah berhenti daripada bertanya bilakah dapat menyaksikan mereka berkongsi satu pentas di ibu negara.
Dalam masa sama, Anuar dan Ziana juga sentiasa menyimpan cita-cita untuk muncul di sebuah pentas dalam sebuah corak persembahan yang elegan sebagai merai perjalanan karier seni mereka.
“Yang istimewanya (konsert ini) adalah setelah hampir 12 tahun (pertama kali konsert bersama di Singapore Esplanade), kami berkarya bersama secara skala besar.
“Setelah begitu lama bercita-cita untuk membuat konsert di Malaysia secara duo, akhirnya dimakbulkan oleh Allah SWT. Alhamdulillah kami bersyukur,” jelas Anuar.
Ditanya pendapatnya mengenai sambutan luar biasa yang ditunjukkan peminat melalui jualan tiket konsert yang habis dalam masa singkat sebagai tanda bahawa dia dan kakaknya masih relevan dan diterima dengan begitu baik, sekali lagi Anuar menzahirkan kesyukuran yang tidak terhingga.
“Kami bersyukur lagu lami diterima oleh peminat muzik tanah air. Keadaan ini berlaku adalah kerana sokongan tidak henti-henti daripada peminat yang terus setia menyokong selain pasukan kerja dan rakan-rakan media yang sentiasa memberikan pendedahan buat kami berdua.
“Jalinan hubungan antara peminat dan media sangat penting untuk kita jaga keharmoniannya,” kata lelaki berusia 52 tahun ini sambil mengukir senyuman.
Bagi Ziana pula, rasa teruja yang sukar disembunyikannya ialah berpeluang berkongsi pentas dengan adik kesayangan yang juga ‘senior’ dalam industri muzik.
“Yang penting dapat kongsi pentas adik-beradik di Kuala Lumpur. Ini sesuatu yang begitu bermakna buat saya dan Anuar. Julung kali kita dapat tengok adik beradik buat konsert di satu pentas.
“Dan apa yang paling terharu ialah kami berdua digabungkan pada usia 50-an… ya Allah bersyukur sangat,” Ziana berkongsi perasaannya kepada Astro AWANI.
Kata penyanyi yang mula menempa nama menerusi lagu Madah Berhelah itu, konsert Anuar Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 sangat istimewa dan terlalu peribadi buat dia dan adiknya itu.
“Konsert ini tentu sekali akan menjadi kenangan indah bagi kami adik-beradik dan juga pasti akan mengubat rindu peminat. Kami berdua sedar sudah terlalu lama dan banyak sekali perminataan untuk kami beraksi di konsert.
“Alhamdulillah, sudah sampai masanya. Doakan segala urusan kami dipermudahkan pada 6 Jun ini,” ujar Ziana.
Untuk meraikan perjalanan seni dia dan adiknya itu, Ziana mengakui, sokongan peminat akan menjadi motivasi buat mereka berdua.
Justeru, pada 6 Jun ini, Ziana dan Anuar sudah sepakat akan menggabungkan pengalaman seni mereka selama ini di pentas yang istimewa itu.
Selama 90 minit juga, kedua-dua mereka akan memanfaatkan masa yang diberikan untuk mengubati kerinduan peminat yang selama ini menjadi tulang belakang kejayaan karier mereka.
“Apa yang boleh saya katakan, selama 90 minit itu akan kami manfaatkan sepenuhnya dengan memberi tumpuan pada senarai lagu-lagu yang telah mempopularkan kami. Kami juga tentu sekali akan saling menyanyikan lagu masing-masing.
“Selebihnya, datang tengok persembahan kami okey,” kata Ziana, 54, dalam nada yang sangat ceria.
Konsert Anuar Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 akan berlangsung pada 6 Jun ini di Plenary Hall, KLCC bermula pukul 8.30 malam.
Saharudin Musthafa
Mon May 23 2022
Anuar Zain dan kakaknya, Ziana Zain akan beraksi dalam konsert Anuar Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 pada 6 Jun ini di Plenary Hall, KLCC. - Gambar fail
Pengurus Besar Perak FC umum letak jawatan berkuat kuasa 1 Jan ini
Pengurus Besar Perak FC Neow Choo Seong mengumumkan peletakan jawatan dalam pasukan itu berkuat kuasa 1 Jan 2025.
PDRM laksana Op Lancar bermula hari ini hingga 2 Jan
JSPT Bukit Aman akan melaksanakan Op Lancar bermula hari ini hingga 2 Jan depan sempena musim perayaan dan cuti akhir tahun persekolahan.
Bekas ahli 'Dolla' Syasya Rizal selamat bersalin anak sulung
Khabar gembira tersebut dimaklumkan menerusi Instagram sambil mempamerkan momen suami membacakan azan dan iqamat kepada bayi lelaki yang diberi nama Muhammad Yassir Hayyan.
Kerajaan Kelantan akan ambil tindakan tegas berhubung tarian colok mata di Tanah Merah
Kerajaan Kelantan akan mengambil tindakan tegas terhadap penganjuran majlis makan malam yang didakwa menyediakan persembahan tarian mencolok mata.
Permintaan sayuran di Negeri Sembilan menurun, harga masih berpatutan
Harga sayur di Negeri Sembilan masih terkawal walaupun terdapat kenaikan harga di negeri lain akibat cuaca tidak menentu.
16 didakwa jadi ahli kumpulan jenayah terancang 'Geng Pacific Siva'
16 lelaki didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai 'Geng Pacific Siva'.
Pensyarah UM terpalit dakwaan hantar mesej jelik seksual telah ditahan kerja
Pensyarah UM yang dikaitkan dengan isu penghantaran mesej jelik seksual, telah diambil tindakan tahan kerja.
Mogok pekerja Starbucks merebak ke beberapa bandar di AS
Mogok yang kini memasuki hari ketiga daripada lima hari yang dirancang telah menyebabkan penutupan hampir 50 cawangan di seluruh negara, dengan lebih banyak cawangan menyertai mogok sebagai tanda solidariti, menurut kenyataan Starbucks Workers United.
Malaysia terus dahului indeks pusat data serantau
frma perundingan hartanah global itu berkata pertumbuhan didorong oleh pelaburan strategik daripada syarikat teknologi terkenal seperti Microsoft, Amazon Web Services (AWS), Google dan Oracle berjumlah US$23.3 bilion.
Anggota polis sempat minta tolong sebelum lemas - Rakan
Allahyarham Koperal Muhammad Taufik Sayutin sempat meminta tolong daripada rakannya sebelum dihanyutkan arus deras.
"Tak sangka akan bergabung pada usia 50-an" - Ziana, Anuar cipta sejarah tiket konsert habis terjual sekelip mata
Anuar dan Ziana tidak pernah sangka tiket konsert mereka akan habis dijual dalam masa singkat.