Keunikan seni tradisi itu menjadi ilham buat seorang pereka fusion wayang kulit, Tintoy Chuo, untuk mencipta watak wayang kulit moden menggunakan watak ‘Superhero’ barat.
Watak seperti Batman, Superman, Flashman, Bionic Women dan Green Lantern Man yang cukup sinonim di layar perak dan juga di dalam komik, ditonjolkan menjadi watak wayang kulit.
Chuo berkata, tujuannya membina watak moden itu bagi mencipta kelainan dan menarik lebih ramai peminat wayang kulit generasi baru menerusi watak ‘Superhero’ kegemaran ramai itu.
“Untuk fusian wayang, kita gabungkan sesuatu yang ‘modern future’ dan tradisional, dan membentuk sesuatu yang sangat unik. Ia adalah watak komik, yang kita gabungkan dengan watak wayang kulit.
“Kami berharap golongan remaja akan menyukainya kerana mereka mengenali watak tersebut. Kami juga berharap dapat menghidupkan lagi wayang kulit dengan cara ini,” katanya.
Ujarnya, sebelum ini, masyarakat lebih mengenali beberapa watak tradisi seperti Raja Seri Rama, Tuan Puteri Siti Dewi ,Wak Long dan Pak Dogo dalam persembahan wayang kulit.
Namun, beliau berharap watak wayang kulit moden yang dijelmakan pasukannya itu, dapat memberi nafas baru kepada seni tradisi itu.
“Projek ini ada lima watak utama. Kita mencuba banyak idea yang berlainan untuk menunjukkan kita tidak terhadkan diri kepada saju jenis watak sahaja," katanya.
Chua berkata, pihaknya sedang dalam usaha mempromosikan wayang kulit moden kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini termasuk mengadakan pameran wayang kulit ‘DC Superhero’ buat julung kali di Pulau Pinang pada bulan lepas.
Chuo berharap akan mengadakan pameran itu di negeri-negeri lain juga terutamanya Kuala Lumpur, Johor dan Kelantan.