Ringkasan AI
- Banyak pihak kecewa kerana rumah Allahyarham Datuk Sharifah Aini dirobohkan tanpa usaha kerajaan untuk memeliharanya.
- Mereka berharap kerajaan dapat mewujudkan sebuah galeri khas untuk mengenang jasa dan sumbangan Sharifah Aini kepada dunia seni.
- Barangan peribadi Allahyarham sudah dipindahkan ke lokasi lain, dan netizen menggesa kerajaan mengumpulkan semula barangan tersebut dan membuka galeri untuk mengenang jasa beliau.
Walaupun sudah terlambat untuk menyelamatkan banglo terletak di Petaling Jaya itu, mereka berharap kerajaan dapat mewujudkan sebuah galeri khas untuk mengenang jasa dan sumbangan Sharifah Aini kepada dunia seni negara.
Seorang kenalan terdekat Allahyarham yang enggan namanya disiarkan berkata, kerajaan sepatutnya membantu membeli kediaman berkenaan sebaik mengetahui ia hendak dijual oleh anak tunggal Allahyarham, Aliff Omar Ali, sebelum ini.
"Pada pandangan saya, kerajaan sepatutnya mempunyai inisiatif untuk membeli seterusnya memelihara dan mempromosi kediaman termasuk barangan penyanyi legenda itu.
"Ini memandangkan Allahyarham merupakan seorang Biduanita Negara dan sudah semestinya dapat memberi peluang kepada para peminat dan orang ramai melihat sendiri daripada dekat," katanya.
BACA: Syarikat pemaju terkejut rupanya rumah dirobohkan milik Sharifah Aini
Beliau bagaimanapun memahami bahawa rumah itu adalah hak anak Allahyarham dan menghormati keputusan dibuatnya.
Tambah kenalan Allahyarham itu, dia turut berasa sedih memandangkan banyak memori sempat dilalui dalam banglo itu.
"Ketika arwah masih ada, saya sering ke sana. Meluangkan masa bersama ketika arwah sudah tidak berapa sihat," katanya.
Banglo berkeluasan 20,000 kaki persegi itu sudah diratakan dan pemilik tanah itu dalam proses membina bangunan tiga tingkat dan ia dijangka siap tiga bulan lagi.
Sementara itu, salah seorang buruh ketika ditemui Astro AWANI di tapak itu hari ini, memberitahu barangan peribadi Allahyarham terutama yang berkaitan kerjaya seninya sudah dipindahkan ke lokasi lain dengan sebuah lori.
Difahamkan juga, perabot serta barangan besar lain dijual sedikit demi sedikit kepada rakan serta ahli keluarga lain selepas fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
Dalam pada itu, netizen menggesa kerajaan, mengambil inisiatif mengumpulkan semula barangan peribadi serta koleksi Allahyarham dan membuka sebuah galeri menempatkannya untuk mengenang jasanya kepada dunia seni negara.
Antara lain mereka memberi contoh rumah seniman agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee di Pulau Pinang.