HULU SELANGOR: Pendakwaan bagi kes pelakon Hafidz Roshdi yang dituduh mencederakan bekas isterinya pada Mac tahun lepas, memberitahu Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini pada Jumaat bahawa, pihaknya belum mendapat arahan lanjut isu penarikan laporan polis oleh Nurul Shuhada Mat Shukri.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Asmah Che Wan berkata demikian ketika sebutan kes terbabit di hadapan Hakim, Nurul Mardhiah Mohammed Redza yang bertindak sebagai majistret.

Menurutnya, isu kesuntukan masa dan terdapat alasan lain yang tidak boleh dinyatakan, menyumbang kepada ketidak perolehan arahan tersebut.

“Justeru itu, kami mohon mahkamah memberikan masa selama dua minggu jika dibenarkan,” kata Asmah.

Sementara itu, peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Hafidz, 30, tidak membantah sekiranya mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi sebutan seterusnya berkaitan penarikan laporan polis oleh Nurul Shuhada, 30, selaku pengadu.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 13 Ogos bagi tarikh akhir untuk pihak pendakwaan memaklumkan status laporan berkenaan.

Dalam prosiding lalu, Akberdin berkata, pihaknya menerima laporan Shuhada menarik balik laporan polis pada 6 Julai.

Pada 13 Mac 2023, Hafidz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya (ketika itu) Nurul Shuhada dengan menumbuk pipi kiri wanita itu sebanyak tiga kali sehingga luka, lebam dan bengkak.

Hero drama ‘Tundukkan Playboy Itu’, dituduh melakukan perbuatan berkenaan berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya di sini pada jam 3.22 pagi, 2 Mac lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Pada 27 Julai tahun sama, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam mengesahkan pasangan itu bercerai talak satu.

*Artikel disiarkan di Sinar Harian