BACHOK: Sebagai anak jati Kelantan, apa yang menjadi kebanggaan dan kepuasan kepada personaliti terkenal, Datuk Seri Shah Rezza ialah berpeluang memasyhurkan kesenian dan kebudayaan negeri tercinta kepada masyarakat luar.

Justeru, tanpa menunggu lama, pelakon dan penerbit terkenal itu memilih kisah ikon yang sangat sinonim dengan negeri Kelantan iaitu Cik Siti Wan Kembang sebagai latar filem baharu terbitannya.

Hasrat Shah Rezza naskhah itu kelak berpeluang menyampaikan mesej mengenai keunikan dan sejarah Kelantan sekali gus mempromosikan budaya, kesenian, busana warisan dan sebagainya berkaitan negeri itu.
"Cik Siti Wan Kembang adalah ikon Kelantan yang menggambarkan budaya, keunikan, keaslian dan warisan Kelantan yang penuh nilai sejarah," jelasnya mengenai filem yang sedang dalam pembikinan itu ketika ditemui di sini, hari ini.


Shah Rezz bagaimanapun, tidak berkongi sebarang bayangan mengenai produksi filem Cik Siti Wan Kembang termasuk senarai pelakon utama dan kos pembikinan.

Sebelum ini, beliau pernah menerbitkan telefilem Tuan Petri Saadong dengan kos sekitar RM1 juta.

Tuan Petri Saadong yang diterbitkan oleh syarikat produksinya, Nusantara Gems Sdn Bhd ditayangkan di Astro sekitar dua tahun lalu dan mendapat sambutan luar biasa.

"Selepas kejayaan Tuan Petri Saadong, saya mahu mengetengahkan lagi sejarah di negeri yang kaya dengan khazanah dan identitinya ini" katanya.

Sebelum itu, Shah Rezza menyifatkan kerjasama bersama pengarah Allahyarham Raja Ahmad Alauddin Raja Mohamed Redzuan untuk telefilem, Tuan Petri Saadong sebagai kenangan terindah.

Shah Rezza turut menyatakan kesedihannya apabila Allahyarham Raja Ahmad Alauddin tidak sempat melihat karya arahannya selepas dijemput Ilahi pada 29 Ogos 2019.

Telefilem itu telah menemui penonton sebanyak dua siri menerusi saluran Astro Citra serta Citra HD.

Nama Shah Rezza terkenal pada era 90 an menerusi beberapa filem antaranya Ali Setan, Kolej 56, Marah-Marah Sayang, Hati Bukan Kristal, Syukur 21, Pontianak Harum Sundal Malam dan Balik Kampung.

Shah Rezza atau nama sebenarnya Raja Shah Zurin Raja Aman Shah pernah menjadi model sambilan yang menghiasi majalah hiburan dan fesyen tempatan.

Beliau juga pernah menjadi penerbit muzik pada tahun 1997 dalam album berjudul Pedoman sekali gus telah berpadu suara bersama rakan penyanyi-pelakon Allahyarham Nassier Wahab dan Ebby Saiful (yang turut membintangi filem Ali Setan), serta Ahmad Fauzee dan Syed Sobrie.