UMUM mengetahui kisah kehebatan dua adik beradik, Venus Williams dan Serena Williams yang digelar sebagai jaguh tenis legenda dunia.

Dua beradik ini mula mendominasi sukan tenis pada penghujung tahun 1999 apabila Serena menjuarai major pertamanya menerusi Terbuka Amerika Syarikat.

Manakala Venus menjuarai major pertama pada 2000 menerusi Terbuka Wimbledon.

Sehingga kini, dua beradik ini sudah menjuarai keseluruhan 30 trofi Grand Slam perseorangan wanita dengan Serena mendominasi dengan 23 trofi sementara Venus dengan tujuh trofi.

Namun ramai yang tidak tahu bagaimana dua beradik ini mula menyinari sukan tenis yang dianggap sebagai sukan elit di mata ramai pemerhati.

Untuk itu, Warner Bros Pictures menerbitkan sebuah filem King Richard, bersandarkan kepada kisah gemilang dua beradik ini yang mula menanam impian sebagai pemain tenis tersohor.

Filem King Richard itu bakal menemui penonton seluruh dunia pada 19 November 2021 dan dibintangi oleh Will Smith sebagai Richard Williams yang merupakan bapa kepada Venus dan Serena.

Dengan kos pembikinan sebanyak AS$50 juta, filem ini turut dibintangi Saniyya Sidney sebagai Venus, Demi Singleton (Serena) dan Aunjanue Ellis (Oracene Brandy Price).

Filem yang diarahkan oleh Reinaldo Marcus Green ini sepatutnya ditayangkan pada 25 Mac 2020, namun dibatalkan susulan penularan pandemik COVID-19.

Sedikit perkongsian, Venus dan Serena membesar di Compton, California yang dilabelkan sebagai sebuah kejiranan yang agak rough.

Kedua-dua mereka dilatih secara peribadi oleh Richard dan Venus mula melangkah sebagai pemain professional pada 1994 manakala Serena setahun selepas itu.

Ia selepas Richard menyaksikan satu perlawanan tenis di mana juara ketika itu membawa pulang hadiah wang tunai bernilai lebih AS$40,000. 

Maka saat itu diibaratkan sebagai wake up call buat dirinya untuk membimbing Venus dan Serena menjadi bintang tenis terkemuka sekali gus membolehkan keluarganya menikmati kehidupan yang jauh lebih selesa.

Bukan sahaja berperanan sebagai seorang jurulatih, malah Richard terus komited memastikan anak-anaknya ini tidak terdedah kepada sebarang kejohanan di saat mereka masih belum bersedia.

Menerusi sesi temu bual bersama ibu mereka Oracene Price pada 2019 bersama Today, dia berkata adalah sukar untuk mengimbangi keperluan mereka sebagai kanak-kanak dan misi untuk menjadi atlet terbaik dunia.

"Apabila berada di gelanggang, mereka berlatih seperti biasa dan saya serta Richard akan berkelakuan seperti jurulatih.

"Namun apabila berada di rumah, mereka adalah anak dan kami sebagai ibu dan bapa.

"Oleh itu, hal-hal berkaitan latihan di gelanggang tidak pernah dibawa ke dalam rumah. Ini bagi memastikan mereka menjalani kehidupan sebagai kanak-kanak normal yang lain," ujarnya.

Oracene juga merupakan jurulatih Venus dan Serena di awal kemunculan mereka suatu ketika dahulu.


Kejayaan demi kejayaan, Williams Sisters teruskan dominasi

Nama dua beradik ini terus menjadi perbualan hangat tatkala kedua-dua mereka terus mempamer aksi-aksi hebat, menundukkan jaguh tenis terkemuka seterusnya menjuarai banyak kejohanan.

Sepanjang karier mereka, Serena lebih banyak mendominasi kejuaraan namun apabila mereka bergabung, pastinya digeruni pihak lawan.

Malah menerusi 30 head to head di antara mereka, ibu kepada Olympia Ohanian ini nyata lebih unggul dengan mencatat 18 kemenangan berbanding 12 oleh Venus.

Perlawanan paling epik dua beradik ini adalah pada pentas akhir Terbuka Australia 2017 dengan Serena menang 6-4 dan 6-4 serta merangkul trofi Grand Slam ke-23 miliknya.

Saat itu juga merupakan kenangan paling manis buat mereka berdua tatkala Serena berjaya mengatasi rekod Steffi Graf sebagai pemenang trofi Grand Slam terbanyak dan hanya ketinggalan satu trofi di belakang Margaret Court.

Sehingga kini kedua mereka masih aktif dan kali terakhir kedua-duanya beraksi menerusi Terbuka Wimbledon 2021 pada Julai lepas.




** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !