SEKIAN lama saya agak skeptikal terhadap Istana Budaya (IB).
Institusi itu sukar terlepas daripada kritikan tokoh teater negara, Khalid Salleh dan membesar dengan penulisan beliau menjadi pengaruh terbesar dalam gagasan pemikiran saya.
Pengalaman menghadiri beberapa pementasan serta berpeluang bersama kenalan produksi di belakang pentas turut mempengaruhi.
Banyak kali produksi tempatan mementaskan muzikal demi muzikal yang menampilkan wajah-wajah pelakon kegemaran rakyat Malaysia, namun jarang menampakkan sebenar-benarnya potensi dan peranan bangunan dan institusi yang dipanggil sebagai sebuah ‘istana’ kepada hal-hal ‘budaya’.
Maka apabila sampai berita bahawa produksi jelajah dunia muzikal The Phantom Of The Opera akan singgah ke Kuala Lumpur, dalam hati saya berkata: "Eh boleh ke IB ni?"
Mana tidaknya, ia adalah sebuah karya agung Andrew Lloyd-Webber, legenda teater muzikal dunia.
Pertama kali dipentaskan di West End, London di Her Majesty’s Theatre pada 9 Oktober 1986 berjaya merangkul anugerah Muzikal Terbaik pada Oliver Award 1986 dan Tony Award 1988.
The Phantom of the Opera juga merupakan naskhah yang paling lama dipentaskan di Broadway, meraikan pementasan ke 10,000 di venue itu pada 11 Februari 2012, dan menyambut ulangtahun ke-30nya tahun lepas.
Ini bukan muzikal dari luar negara yang biasa-biasa, ini satu legasi muzikal yang tinggi standardnya.
Juga ia begitu peribadi kerana ini kisah sastera klasik kegemaran saya sejak di bangku sekolah rendah.
Maka jemputan seorang teman untuk bersamanya menonton pementasan pada malam gala pada Selasa tempoh hari mustahil untuk ditolak.
Dengan tema ‘Masquerade’, inilah juga peluang untuk saya memakai topeng putih separuh wajah prop produksi zaman universiti yang disimpan sejak 2013.
Memang sangat teruja, tetapi tetap ragu terhadap bangunan berbumbung turquoise di pesisir Jalan Tun Razak yang kerap dicanang sebagai ‘pentas bertaraf antarabangsa’ itu.
Namun tatkala pementasan bermula, bunyi organ ‘Overture’ serta kerlipan lampu chandelier yang bergerak perlahan dari lantai pentas ke bumbung auditorium telah mempersonakan seluruh deria sehingga tidak sedar mulut saya ternganga.
"It’s really here, The Phantom of the Opera!"
Kisahnya dicipta oleh penulis Perancis, Gaston Leroux bertempat di Opera Palais Garnier sekitar kurun ke-18. Seorang penari balet Christine Daaé bertukar penyanyi apabila primadona asal Carlotta mengundur diri daripada satu pementasan.
Christine, yang dilatih sejak kecil oleh satu suara yang dipanggilnya sebagai The Angel of Music, sekelip mata menjadi bintang pujaan opera Paris.
Jatuh hati dengan kejelitaannya, The Angel of Music menampakkan dirinya kepada Christine selepas sekian lama menyembunyikan diri. Rupanya dialah figura hantu atau Phantom yang menjadi buah mulut warga opera.
Dalam masa sama, hadir Vicomte Raoul de Chagny sebagai patron baharu opera tersebut.
Terperangkaplah Christine dalam percintaan tiga segi, antara simpati dan terhutang budi terhadap Malaikat Muziknya, Erik si Phantom berwajah hodoh atau kehidupan lebih indah dan mewah bersama putera bangsawan kacak buah hati zaman kanak-kanak.
Sebuah cerita hebat, walaupun sudah diketahui jalan ceritanya, menjadi lebih unggul apabila ia dipersembahkan dengan cukup cemerlang.
Dari permulaan Act 1 sehinggalah tirai dilabuhkan, sukar untuk mengalih pandangan dan perhatian dari pentas.
Cukup terperinci dan teliti; tatarias, busana, set, prop, pencahayaan, dimensi dan kualiti audio serta sudah pasti lakonan mereka - segalanya pada standard tertinggi dan tidak dibuat sambil lewa, di atas pentas kita.
Fasiliti pentas IB dimanfaatkan sepenuhnya oleh produksi yang dibentuk oleh pemain teater dari seluruh pelusuk dunia.
Masing-masing memainkan peranan di atas dan belakang pentas untuk memberikan hasil kerja seni yang terbaik dari setiap jabatan dibantu fasiliti yang dapat memenuhi kehendak ‘mahal’ mereka.
Malah, menurut rakan setugas yang berkesempatan mengikut jelajah media ke belakang tabir muzikal ini, pengarah pentasnya, Sandie Bekavac memuji IB sebagai venue terbaik mereka selepas singgah di beberapa ibu kota dunia termasuk Manila dan Singapura.
Belajar daripada Phantom
Jika dilihat produksi muzikal Phantom ini begitu jelas ia sebuah produksi yang mahal.
Apatah lagi ia sebuah naskhah period klasik, menuntut perbelanjaan yang besar untuk menjelmakan busana, set dan prop dari kurun ke-18.
Kehalusan hasil kerja mereka terlihat pada setiap perincian yang dipamer di atas pentas.
Kerja seni sememangnya satu bidang yang mahal, jika dibuat untuk kualiti terbaik.
Kehalusan kerja seni memerlukan masa, tenaga dan wang yang dianggap terlalu mahal untuk orang yang kurang bersabar dan kedekut.
Harga mahal dibayar semula bukan dengan keuntungan berlipat kali ganda kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tetapi lebih penting sebagai ubat jiwa manusia yang azalinya mencintai warna, cahaya, pergerakan dan bunyi-bunyian indah untuk kembali dengan kehalusan dan keindahan Maha Pencipta.
Jelajah The Phantom of the Opera ke Kuala Lumpur wajar menjadi satu suntikan semangat kepada dunia seni pentas tempatan supaya tidak terus melayu dan mati.
Kita memang mempunyai pentas bertaraf antarabangsa, tetapi rohnya tidak segah tempatnya. Ia sering ‘dihantui’ semangat dari luar.
Negara sebenarnya punyai ramai bakat dan kemampuan untuk menghasilkan kerja seni kelas tinggi.
Cumanya orang-orang seni ini tidak boleh bergerak sendiri, malah sesiapa pun. Kita perlu saling mendukung untuk membentuk sebuah ekosistem yang sejahtera untuk semua bidang kerja, dari dunia korporat hinggalah kepada peniaga di jalanan dan nelayan di lautan.
Apabila kesenian tidak dilihat sebagai satu unsur penting dalam pembangunan sebuah negara bangsa, maka penggiat-penggiat seni tempatan hanya mampu bernafas di dalam ruang kecil mereka di antara bangunan-bangunan tinggi.
Bukan tidak mahu, tetapi tidak mampu untuk berpencak sendiri di pentas lebih besar.
Seluruh warga produksi The Phantom of the Opera hidup hanya dengan bermain teater. Mereka bersama selama satu tempoh yang panjang untuk menjayakan sesebuah produksi tanpa membuat perlu kerja lain untuk menyara isteri dan anak-anak.
Kerja seni sudah lama menjadi bidang profesional di sana, malah dipandang tinggi seiring kerjaya dalam bidang perubatan dan perundangan misalnya.
Kita masih jauh untuk ke tahap itu, tetapi kita belum terlalu terlambat untuk berubah.
Malaysia Baharu memberikan semangat kepada rakyat untuk lebih ekspresif serta jujur dan ia harus disambut pak menteri dengan mengimbangi progres ekonomi dengan keperluan rohani warganegara.
Ini yang sebenarnya falsafah dimaksudkan di sebalik Wawasan 2020 atau bahasa Inggerisnya disebut ‘Vision 2020’ yang diperkenalkannya pada 1991, iaitu wawasan mencapai kesempurnaan dengan keseimbangan (mata manusia adalah pada penglihatan sempurna pada skala 20/20 menurut optologi).
Dengan sokongan dan galakan segenap aspek kepada para penggiat seni tempatan untuk menghasilkan karya yang terbaik, tidak mustahil satu hari nanti adegan teater Malaysia akan mengukuh menjadi sebuah industri yang akan mendapat perhatian dunia, sekali gus menjadi karier yang memberi jaminan kehidupan yang selesa kepada generasi anak seni pada masa akan datang.
Lebih penting ia menjadi medan santapan rohani yang membentuk keperibadian halus seorang manusia dalam diri setiap rakyat Malaysia.
Sampai bila IB mahu hanya bergemerlapangan apabila ada pementasan dari luar negara sahaja bukan?
Semoga kehadiran Hantu Panggung Bangsawan selama tiga minggu dari 15 Jun hingga 7 Julai ini dapat membangkitkan semula semangat ‘hantu-hantu’ panggung tempatan.
Apapun tahniah Istana Budaya, dan terima kasih!
Israr Khalid
Fri Jun 21 2019
Phantom (Jonathan Roxmouth) dan Christine Daae (Meghan Picerno) sebagai teraju utama produksi jelajah dunia muzikal The Phantom of the Opera. - Gambar Facebook/Base Entertainment Malaysia
Gagal yakin penaja punca sukar dapat tajaan - Hannah
Beliau berkata kegagalan itu antaranya berpunca daripada cadangan yang dihantar kepada pihak berkenaan turut memasukkan perkara-perkara tidak perlu.
Kaca mata akan jadi platform perkomputeran utama seterusnya - Mark Zuckerberg
Meta dilihat menerajui arena ini buat masa ini, sementara yang lain masih jauh di belakang.
Tiga maut, lelaki lepaskan tembakan di hospital Haiti
Tiga orang terbunuh manakala beberapa lagi cedera pada Selasa apabila lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah sekumpulan wartawan sebelum sidang akhbar kerajaan pembukaan semula hospital awam.
Tular lelaki lari dari polis, rupanya bawa syabu
Suspek turut didapati memiliki 18 rekod jenayah lampau selain pemeriksaan menemui paket plastik dipercayai dadah jenis syabu.
Jual Saham MAHB: Langkah tidak adil, bertentangan kepentingan negara - Hamzah
Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, hari ini menyatakan bantahan tegas terhadap cadangan penjualan saham Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) kepada pihak luar.
Dua maut motosikal terbabas di lebuh raya
Setiba di lokasi, motosikal ditunggang lelaki warga tempatan itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya.
Penganjur mohon maaf, dikompaun RM10,000
Penganjur majlis makan malam sebuah syarikat perlombongan yang didakwa menampilkan persembahan tarian mencolok mata di Tanah Merah, Sabtu lalu, dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 oleh Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM).
Kerajaan mulakan kajian semula anti lambakan ke atas import besi
Kerajaan telah memulakan kajian semula pentadbiran terhadap duti anti lambakan yang dikenakan terhadap import besi atau keluli bukan aloi gegelung gulungan sejuk.
Agong, Permaisuri ucap selamat Hari Krismas
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Krismas kepada masyarakat beragama Kristian di Malaysia.
Suri rumah rugi RM147,753 terperdaya kerja dalam talian
Seorang suri rumah kerugian RM147, 753 selepas menjadi mangsa penipuan tawaran kerja sambilan menerusi aplikasi media sosial.
Sampai bila pentas kita mahu 'dihantui' semangat luar?
Kehadiran produksi jelajah dunia muzikal The Phantom of the Opera ke Istana Budaya membangkitkan sekali lagi persoalan hala tuju dan masa depan adegan teater tempatan.