Castaway, merupakan lagu kolaborasi Yuna bersama dengan penyanyi Rap Amerika Syarikat, Tyler, The Creator yang diselitkan dalam album terbaharu penyanyi itu, Rouge.
Jika Blank Marquee dan Forevermore menampilkan Yuna menari mengikut rentak lagunya sendiri, kali ini Castaway dilihat tampil berbeza.
Video muzik arahan Adam Sinclair itu berlatarbelakangkan rumah usang.
Ia memaparkan Yuna yang berpakaian baju panas berwarna-warni dalam gaya 'moody' tampil dengan lagak 'kesunyian' di dalam kediaman tersebut.

Dilancarkan di laman YouTube pada malam Rabu, video muzik tersebut sudah mendapat lebih 100,000 tontonan hanya dalam masa 16 jam ia dimuat naik.
Seperti biasa, jika dilihat di rungan komen, ramai peminat Yuna meluahkan rasa bangga dan kagum dengan kreativiti penulisan lagu yang ditonjolkan oleh penyanyi kesayangan mereka itu.
Malah, ada yang memuji kolaborasi Yuna dan Tyler dan meminta lebih banyak lagi kolaborasi seperti itu di masa akan datang.



Terdahulu, Yuna pernah mendedahkan kisah di sebalik lagu hasil kolaborasi dia dengan artis berkenaan.
BACA: Kolaborasi Yuna bersama Tyler, The Creator bermula daripada ais krim?
Menariknya, lagu Castaway mula terhasil selepas Yuna terserempak dengan Tyler yang sedang menikmati ais krim di tepi jalan.
“Ketika saya ingin membeli secawan kopi, saya terserempak dengan Tyler yang sedang menikmati ais krim di tepi jalan.
“Saya kemudiannya menegur Tyler dan dari situlah kami mendapat persetujuan untuk berkolaborasi bersama menerusi sebuah lagu di dalam album saya,” kata Yuna.
Tambah Yuna, Castaway mengisahkan tentang kisah disebalik kejayaannya sebagai seorang artis di Amerika Syarikat.
Castaway merupakan salah satu daripada 11 lagu dalam album terbaharunya, Rouge yang dilancarkan 12 Julai lalu.