Selepas 11 tahun menyepi dan membawa haluan masing-masing, kumpulan Ruffedge kini bergabung semula untuk mengubati rindu peminat muzik tempatan.

Ruffedge yang telah ditubuhkan sejak tahun 1997 ini bakal mengadakan konsert ‘Ruffedge: 20th Anniversary’ pada 4 Ogos ini bertempat di KL Live, Kuala Lumpur.

Menurut salah seorang anggota Ruffedge, Zain, ini adalah konsert Ruffedge yang julung kali diadakan selepas menempa nama dalam industri hiburan selama 20 tahun.

“Buat peminat yang merindui kami, ini adalah masanya. Kami akan membuat konsert berskala besar buat pertama kalinya.

“Selama 20 tahun dalam industri, kami tidak pernah melakukan sebarang konsert. Dengan peluang ini kami berharap dapat mengubati rindu peminat yang telah lama menginginkan konsert ini.

”Apa yang istimewa adalah, konsert ini sendiri. Jika sebelum ini kami sering membuat persembahan menerusi perkongsian pentas tetapi bagi konsert ini kami bakal beraksi sendiri,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini, pada Rabu.

BACA: Bergabung semula, Ruffedge sedia terima kecaman

Tambah Zain, mereka menjanjikan persembahan yang mantap dan hebat serta kejutan buat peminat mereka.

Selain Zain, Ruffedge yang dianggotai Cat Farish, Sein, Mode Abdullah dan Azan bakal mempersembahkan lagu hit mereka seperti Bila Rindu, Khayalan dan Lemas pada malam konsert yang akan berlangsung selama dua jam itu.

Bagi anda yang ingin menonton mereka secara langsung, anda boleh dapatkan tiket yang bermula dengan harga RM125 bermula 4 Mei ini menerusi laman sesawang www.ticketpro.com