Beberapa selebriti turut terkesan dengan pemergian pelakon, Philip Seymour Hoffman.

Antaranya adalah Kevin Costner yang merasakan Philip merupakan seorang pelakon hebat dan mampu menempatkan diri dikalangan pelakon hebat yang lain

“Namun beliau meninggalkan kita dengan legasi hasil kerjanya yang hebat” kata Kevin.

Sementara pelakon dan penyanyi, Harry Connick Jr turut terkejut dengan berita kematian Philip.

“Kita kehilangan orang yang hebat, itu amat menyedihkan” kata Harry kepada pemberita.



Beberapa rakan seangkatannya yang lain turut menulis di Twitter mengenai pemergian Philip dan mengimbau kenangan ketika beliau masih hidup.







Philip ditemui mati dipercayai akibat pengambilan heroin berlebihan pada Ahad.

Pemenang anugerah akademi itu dijumpai oleh rakan baiknya, David Bar Katz di bilik air rumahnya di Brooklyn.

David membuat panggilan kecemasan pada pukul 11.30 pagi.

Philip tidak hadir ke satu perjumpaan untuk mengambil tiga anaknya membuatkan David tergerak untuk menjenguknya di rumah.

Menurut laporan, jarum suntikan jenis hipodermik masih melekat di pergelangan tangan pelakon itu sewaktu dia dijumpai.

Polis menjumpai beberapa keping bekas plastik yang dilabel 'Ace Of Spades' sejenis dadah yang tidak lagi dijual di Brooklyn sejak tahun 2008.

Tiada sebarang nota ditemui dan kematian pelakon itu dipercayai secara tidak sengaja.

Hoffman membintangi filem seperti Scent Of A Woman, Twister, Magnolia dan Cold Mountain selain meraih anugerah pelakon terbaik di Oscar menerusi filem Capote.

Turut bergelar pengarah, aktor berusia 46 tahun itu sempat menyiapkan filem lakonan terakhirnya, The Hunger Games: Mockingjay - Part 1 yang sedang dalam proses penyuntingan.