Perkembangan yang mungkin disifatkan sebagai sesuatu positif mewarnai dunia hiburan negara dengan kehadiran ramai penyanyi baharu bagaimanapun dilihat penyanyi senior, mewujudkan lambakan penyanyi sekali gus menuntut artis muda mempunyai 'strategi tertentu' jika mahu dikenali peminat.
Berpengalaman lebih tiga dekad dalam jatuh bangun industri, penyanyi, komposer terkenal, Datuk Norman Abdul Halim yang mencipta nama menerusi kumpulan trio adik-beradik, KRU, berpandangan penyanyi muda tidak seharusnya mudah berasa selesa dengan populariti sekadar satu atau dua lagu sahaja.
Perlu bekerja lebih keras dan tampil dengan buah tangan terbaharu iaitu sekurang-kurangnya menghasilkan satu lagu bagi setiap dua bulan, anak sulung daripada empat beradik ini berkata pendekatan itu penting dalam memastikan pendatang baharu terus kekal relevan serta kompetitif.
Apatah lagi, dunia muzik pada masa kini menurut Norman, saban masa berevolusi mengikut rentak semasa sehinggakan pendengar dan peminat sentiasa mahukan sesuatu yang baharu daripada penyanyi itu, tidak kiralah sama ada ciptaan mereka sendiri atau digubah dan ditulis lirik oleh orang lain.
"Sekarang trend telah berubah, peminat atau pendengar selepas mereka mendengar sesuatu lagu daripada penyanyi itu, mereka tidak mahu tunggu lama seperti enam bulan untuk lagu baharu.
"Jadi, syarikat rakaman atau artis sekarang, kena tahu peminat mahukan lagu-lagu yang sentiasa ada (baharu), tak semestinya kedengaran di radio, tapi boleh bagi keutamaan untuk platform lain penstriman video dan audio," katanya kepada Bernama.
Kewujudan pelbagai platform digital tika ini untuk mempromosikan karya muzik baharu sama ada menerusi media sosial mahupun penstriman muzik berbanding sebelum ini yang begitu bergantung kepada radio dan televisyen, kata Norman, teknologi itu sekali gus memudahkan lagi pendatang baharu.
Tambahan pula, dengan kuasa media sosial serta penstriman muzik yang membolehkan buah tangan terbaharu mereka melangkaui jangkauan audiens di serata pelosok dunia tanpa ada batasannya, turut dilihatnya sebagai strategi terbaik membantu mereka untuk terus kekal diingati peminat.
Biarpun begitu, Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios ini berkata penghasilan sesebuah lagu itu tidak boleh sekadar 'tangkap muat' tetapi memerlukan ketelitian struktur dan susunan elemen, yang kini juga telah berubah selari dengan kehendak pendengar, budaya serta teknologi semasa.
"Dulu, lagu intro boleh panjang (tetapi) sekarang tak boleh. Kena masuk punch line terus dan kadang-kadang, lagu yang melebihi tiga, empat minit pun, orang tak mahu click (dengar)...format dah berbeza, dulu ada melodi dan music arrangement pun banyak partnya, tapi cita rasa orang sekarang nak cepat," katanya.
Dalam perkembangan lain, Norman berkata pihaknya menerusi KRU Studios merancang untuk pembukaan dua lagi taman tema baharu tahun ini di Lembah Klang, berkonsepkan pusat pembelajaran sambil berhibur selepas pembukaan Wetlands Studio Putrajaya, tahun lepas.
"Asalnya, kami (hendak) menghasilkan content contohnya filem animasi seperti Wheely dan Ribbit tapi kebanyakannya, umum tidak kenal pun jenama tersebut kerana syarikat produksi animasi lain ada di televisyen.
"Oleh kerana kami tiada platform tersebut, kami mahu perkenalkan watak-watak animasi di taman tema kami secara fizikal selain mempromosikannya di media sosial," katanya.
-- BERNAMA