PENGARAH filem Britain terkenal, Mike Hodges dilaporkan meninggal dunia pada usia 90 tahun.

Berita kematiannya disahkan rakannya Mike Kaplan kepada portal berita The Guardian.

Menurut Kaplan, Hodges meninggal dunia di rumahnya di Dorset pada Sabtu.

Namun punca kematian tidak dinyatakan.

Antara filem terkenal arahan Hodges termasuk Get Carter, The Terminal Man, Croupier dan Flash Gordon.

Hodges dilahirkan di Bristol pada tahun 1932 dan memulakan kerjaya sebagai akauntan sebelum menyertai Angkatan Tentera Laut England.

Selepas itu, mendiang menceburi bidang penulisan skrip berita dan siri dokumentari.

Pada tahun 1969, mendiang mengarah dua filem untuk ITV Playhouse berjudul Rumour and Suspect sebelum menerbitkan filem Get Carter yang diilhamkan daripada novel hasil tulisan Ted Lewis.

Selain itu, Hodges mengarahkan filem seram Damien: Omen 2 pada tahun 1978 namun menarik diri daripada projek itu selepas hanya tiga minggu penggambaran.

Ketika itu Hodges mendakwa seorang penerbit telah mengeluarkan pistol yang diisi peluru hidup semasa perbincangan hangat tentang belanjawan filem berkenaan.

Pada tahun 1980 Hodges mengarahkan drama Flash Gordon selepas Nicolas Roeg menarik diri daripada projek berkenaan.

Hodges meninggalkan seorang isteri Carol Laws, dua anak lelaki Ben dan Jake serta lima cucu.