VIRAL di media sosial baru-baru ini ialah persembahan terakhir kumpulan band terkenal, One Direction pada acara kemuncak The X-Factor (UK) di London semalam, sebelum berehat panjang mulai tahun hadapan.

Difahamkan, kumpulan One Direction akan mengambil cuti selama 18 bulan mulai tahun 2016.

Harry Styles, Louis Tomlinson, Liam Payne dan Niall Horan - yang mendapat kemasyhuran menerusi program itu pada tahun 2010 membuat persembahan terakhir mereka di pentas X-Factor semalam khas untuk peminatnya.

Tidak seperti biasa, persembahan terakhir ini dipenuhi emosi kerana kesedihan ‘perpisahan’ yang dibawa oleh kumpulan itu menerusi persembahan mereka.

Malah, kempat-empat ahli kumpulan tersebut dilihat berpelukan selepas persembahan itu.

Juri X-Factor, Simon Cowell yang turut terharu berkata, “Persembahan tadi membawa kembali kenangan lima tahun lalu apabila saya bertemu dengan lima lelaki, sebagai artis solo.

"Saya tidak pernah meramal apa yang berlaku seterusnya. Saya tahu kamu ingin berehat, anda layak mendapatkannya.”

Selain Simon, beberapa selebriti Hollywood turut memberi penghormatan terakhir kepada One Direction menerusi sebuah rakaman video ‘Selamat Tinggal’ yang disiarkan pada program tersebut.

Antaranya ialah James Corden, Robbie Williams, Wayne Rooney, Danny DeVito, Jack Whitehall, Little Mix, 5 Seconds of Summer dan David Beckham.




Tidak lama selepas itu, One Direction mengucapkan terima kasih kepada peminat mereka atas sokongan yang diberikan sejak lima tahun lalu menerusi laman Facebook mereka.

Susulan itu, hashtag #ThisIsNotTheEndOfOneDirection mula trending di media sosial.

Rata-rata peminat berharap agar mereka akan kembali semula sebagai satu kumpulan yang lebih kuat pada tahun 2017.

Mereka turut mengimbas kembali persembahan terakhir serta kenangan kumpulan tersebut menerusi video serta gambar di media sosial.